Penumpang Transit Aliran Ringan (LRT) mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan dengan memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal ketika tinjauan pada 4 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kekal disiplin, patuhi SOP meski beralih fasa empat PPN

GOMBAK, 17 OKT: Dato’ Menteri Besar menasihatkan masyarakat kekal berdisiplin mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) meskipun Selangor beralih ke fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa esok.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tidak mustahil kes Covid-19 boleh kembali meningkat jika ada segelintir pihak berterusan melanggar SOP.

“Sekiranya disiplin ‘koyak’ kita akan ulangi kesilapan yang mungkin boleh menjemput perebakan baharu malahan hospital juga kembali terbeban.

“Justeru, kita perlu beringat apabila negara bakal beralih daripada fasa pandemik kepada endemik kita harus melupakan kehidupan sebelum ini dan fokus ke arah disiplin menjaga SOP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Kampung Orang Asli Batu 12 pada Program Jelajah Prihatin Dato’ Menteri Besar ke Perkampungan Orang Asli Gombak di sini hari ini.

Amirudin turut menggesa masyarakat membiasakan diri dengan norma baharu iaitu memakai pelitup muka, kerap cuci tangan, menjaga jarak dan mengambil vaksin.

Pada 15 Oktober, perdana menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Melaka akan beralih daripada fasa tiga kepada fasa empat pelan pemulihan berkuat kuasa Isnin ini.


Pengarang :