Pengunjung beratur menunggu giliran sebelum dibenarkan masuk ke salah sebuah premis di Kompleks PKNS, Shah Alam yang kembali beroperasi pada 6 Mei 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kompleks PKNS kembali meriah, majoriti premis mula operasi

SHAH ALAM, 6 OKT: Majoriti perniagaan di Kompleks PKNS Shah Alam dan SACC Mall kembali beroperasi selepas ditutup beberapa bulan akibat pandemik Covid-19.

Hasil jualan juga dilaporkan beransur meningkat susulan tambahan pengunjung ke pusat membeli-belah itu pada hujung minggu, kata pemangku Pengurus Pusat PKNS Real Estate Sdn Bhd.

Syahril Mohd Rashid menjangka kesemua 300 premis beroperasi semula bulan ini sementara menanti pengusaha dan pekerja melepasi tempoh matang dos kedua vaksin.

“Insya-Allah baki bulan yang ada tahun ini selain kebenaran tertentu dan menuju fasa endemik, kita percaya perubahan signifikan daripada segi jualan serta pengunjung,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata pihaknya memantau ketat pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) pelanggan dan peniaga selaras arahan kerajaan antaranya saringan suhu di pintu masuk bangunan.

Ruang legar SACC Mall, Shah Alam pada 9 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengunjung yang belum lengkap suntikan vaksin juga dibenarkan masuk dengan syarat tidak membawa anak kecil masuk ke premis, menurut Syahril.

“Bagaimanapun, premis dalam bangunan misalnya restoran dan kedai gunting rambut perlu mengikut peraturan Majlis Keselamatan Negara iaitu hanya membenarkan individu lengkap dos vaksin,” katanya.

Bermula Ogos, kerajaan membenarkan lebih banyak sektor dibuka bagi memastikan kelangsungan ekonomi peniaga kecil antaranya kedai cuci kereta, elektrik dan elektronik serta barangan rumah.

Turut dibenarkan kedai perabot, peralatan sukan, pakaian, fesyen dan aksesori, barang kemas, salun kecantikan, barangan fotografi, kosmetik dan penjagaan kulit serta kraftangan.


Pengarang :