Petugas kesihatan memberi suntikan pelalian Covid-19 kepada remaja ketika Progam Vaksinasi Remaja di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bangi Avenue Convention Centre, Kajang pada 30 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Majoriti remaja di Klang Utara selesai dos pertama vaksin

KLANG, 11 OKT: Majoriti remaja sekitar Klang Utara selesai menerima suntikan dos pertama di pusat vaksin (PPV) Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi di sini sejak 23 September.

Suntikan membabitkan 12,000 pelajar berusia antara 13 hingga 17 tahun manakala murid 12 tahun menerima dos pertama esok, kata yang dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah itu.

“PPV ini mampu menyuntik 1,500 individu dalam masa sehari. Walaupun jumlah itu agak besar namun proses pemberian vaksin berjalan lancar setakat ini,” kata Shamzul Ibrahim.

Beliau ditemui selepas menerima pek makanan tengah hari sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di sini hari ini.

Shamzul berkata PPV berkenaan turut menyediakan khidmat vaksin secara pandu lalu kepada pelajar orang kelainan upaya (OKU) dengan enam individu mendapat manfaat setakat ini.

Shamzul Ibrahim

“Mereka perlu maklumkan kepada guru terlebih dahulu dan minta kebenaran polis yang mengawal di pintu masuk PPV,” katanya menambah suntikan dos kedua bermula Khamis.

Pada 23 September, pengarah Jabatan Kesihatan Selangor berkata sebanyak 399 sekolah negeri ini terlibat dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja.

Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata sekolah terlibat meliputi institusi kendalian Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Agama Islam Selangor dan sekolah swasta.

Pada 20 September, Kementerian Kesihatan Malaysia menyasar 80 peratus remaja di seluruh negara lengkap dos vaksin sebelum sesi persekolahan dibuka tahun depan.


Pengarang :