Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis pelancaran SUKA 2021 di Dataran Ilmu Bandar Baru Selayang, Gombak pada 14 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Bekalan air diagih petang ini, lebih awal dari jangkaan

SELAYANG, 14 OKT: Bekalan air di kawasan terlibat dalam penyenggaraan aset kritikal loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1 diagih berperingkat petang ini.

Dato’ Menteri Besar berkata air disalur kepada pengguna mulai jam 5 petang ini selepas kerja penambahbaikan selesai dalam tempoh 12 jam.

“Kerja siap jam 5 pagi tadi. Saya lihat agihan boleh berjalan kurang 12 jam, antara lapan ke 10 jam. Jadi, bekalan diagih lebih awal secara berperingkat.

“Proses (selenggara) berjalan lancar. Kesannya dapat dilihat harini dan esok. Mungkin menjelang tengah hari esok, 60 ke 70 peratus kawasan pulih,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau bercakap selepas melancarkan Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) di sini hari ini.

Orang ramai di wilayah Petaling, Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor sebelum ini diminta menyimpan bekalan air secukupnya.

Pengguna di 998 kawasan boleh menyemak kawasan masing-masing dan bila bekalan kembali pulih di laman web hentitugas.airselangor.com.

Dalam tempoh 13 hingga 16 Oktober, Air Selangor menyediakan kemudahan 18 pili awam dan 105 lori tangki ke premis penting seperti hospital, pusat dialisis dan pengebumian.

Empat stesen pengisian air setempat juga dibuka kepada pelanggan komersial untuk membeli bekalan menggunakan lori tangki.

Selain laman web dinyatakan, maklumat terkini bekalan air boleh disemak di semua wadah komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter dan Instagram.

 


Pengarang :