EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han (tiga, kiri) meninjau kerja pembangunan Dewan Serbaguna Hillpark, Kuala Selangor pada 5 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOPBTSELANGOR

MPKS peruntuk RM4.3 juta bina dewan, manfaat 20,000 penduduk

KUALA SELANGOR, 6 OKT: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) memperuntuk RM4.3 juta bagi membina Dewan Serbaguna Hillpark di sini.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata pembangunan dewan itu akan memberi kemudahan kepada lebih 20,000 penduduk di kawasan sekitar.

“Pembinaan merangkumi empat gelanggang badminton, pentas, ruang rehat, dua bilik persalinan dan dua unit tandas lelaki dan perempuan.

“Projek ini telah bermula pada November 2019 dan dijangka siap pada Januari 2022 dengan kos RM4.3 juta yang ditanggung MPKS,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja di daerah ini, semalam.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han (tiga, kiri) melihat pelan pembinaan persimpangan baharu menyambungkan persiaran Eco Grandeur 2 ke persimpangan Shorea di Pusat Jualan Eco World, Kuala Selangor pada 5 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sze Han berkata MPKS turut menjalankan kerjasama pintar berjumlah RM7.5 juta bersama Ecoworld bagi projek persimpangan yang menyambungkan persiaran Eco Grandeur 2 ke persimpangan Shorea.

“Tujuan projek ini untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di kawasan Saujana Utama terutama pada waktu puncak pagi dan petang.

“Projek ini telah ditendarkan dan kerja-kerja dijangka bermula pada November ini dan jangkaan siap Julai 2022,” katanya.


Pengarang :