Air Selangor melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan bagi memastikan aset air berada dalam keadaan baik untuk mengelak kejadian luar jangka setelah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). Foto Facebook Air Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Naik taraf aset kritikal loji rawatan ikut jadual, siap 11 malam ini

SHAH ALAM, 13 OKT: Kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1 berjalan mengikut jadual jam 9 pagi tadi.

Dianggar siap jam 11 malam ini, bekalan air akan disalurkan secara berperingkat kepada pengguna mulai 5 petang pada 14 Oktober, kata Pengurusan Air Selangor (Air Selangor).

“Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 9 malam, 16 Oktober 2021,” kata syarikat itu dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Menurut Air Selangor, tempoh gangguan dan pemulihan bekalan air bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan.

Orang ramai di wilayah Petaling, Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor sebelum ini diminta menyimpan bekalan air secukupnya.

Pengguna di 998 kawasan boleh menyemak kawasan masing-masing dan bila bekalan kembali pulih di laman web hentitugas.airselangor.com.

Dalam tempoh 13 hingga 16 Oktober, Air Selangor menyediakan kemudahan 18 pili awam dan 105 lori tangki ke premis penting seperti hospital, pusat dialisis dan pengebumian.

Empat stesen pengisian air setempat juga dibuka kepada pelanggan komersial untuk membeli bekalan menggunakan lori tangki.

Selain laman web dinyatakan, maklumat terkini bekalan air boleh disemak di semua wadah komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter dan Instagram.


Pengarang :