Selangorkini
Warga kerja Menteri Besar Pemerbadanan (MBI) Selangor melafazkan ikrar bebas rasuah dalam suatu majlis berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 25 Ogos 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

SPRM: Jawatan, pengaruh punca penjawat awam terlibat rasuah

SHAH ALAM, 1 OKT: Berjawatan tinggi dan berpengaruh merupakan punca penjawat awam terlibat dengan rasuah, kata pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.

Dato’ Alias Salim berkata berdasarkan statistik keseluruhan dalam tempoh lima tahun sejak 2016, seramai 2,285 daripada 4,811 tangkapan merupakan penjawat awam.

“Hampir separuh atau 47.5 peratus tangkapan terdiri daripada penjawat awam. Penjawat awam perlu ambil perhatian kerana mereka mempunyai kuasa dalam menguruskan dana kerajaan, perolehan, sebut harga dan kontrak.

“Mereka seharusnya menjadi mata dan telinga SPRM dengan memberikan maklumat. Kita pelawa mereka beri maklumat kerana SPRM hanya mempunyai lebih 2,000 anggota dan tidak mampu tangani 32 juta penduduk,” katanya dalam siaran langsung Wacana Betul Ke Selangor Lubuk Rasuah malam tadi.

Alias memaklumkan, penjawat awam yang memberi maklumat tidak perlu khuatir kerana mereka dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

“Penjawat awam ini mengetahui dengan tepat apa yang berlaku dalam jabatan masing-masing sekaligus mahu mengurangkan peratusan tangkapan melibatkan mereka. Dengan maklumat orang awam ditangkap kerana mereka yang sogok terutama pegawai penguat kuasa.

“Kita hendak kurangkan penjawat awam ditangkap dan mahu menuduh orang yang menyogok. Ini yang kita kena didik penjawat awam dengan melaporkan kegiatan rasuah,” katanya.


Pengarang :