Selangorkini
Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj disertai Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dimaklumkan mengenai perkembangan Covid-19 oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Istana Kayangan Shah Alam pada 18 Oktober 2021. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan sukacita 85 peratus rakyat Selangor lengkap vaksin

SHAH ALAM, 18 OKT: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menzahirkan sukacita dengan perkembangan kadar vaksinasi rakyat negeri ini yang mencecah 85 peratus.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dimaklumkan perkara itu selepas berkenan menerima menghadap Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Istana Kayangan di sini hari ini.

“Pada pertemuan itu Khairy memberi taklimat kepada Sultan Selangor mengenai perkembangan terkini penularan wabak Covid-19 di negeri ini.

“Khairy turut menyampaikan laporan terkini mengenai isu antivaksin dan tindakan yang sedang diambil oleh kementerian,” kata kenyataan menerusi Facebook Selangor Royal Office.

Dalam pertemuan itu juga Sultan Sharafuddin menyarankan supaya tumpuan dan pelan jangka pendek yang berkualiti diberi kepada perkhidmatan psikiatri dan kesihatan mental negeri ini.

Baginda bersama Khairy turut membincangkan kepentingan fasiliti geriatrik di hospital bagi menampung peningkatan populasi warga emas.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah turut berangkat sama di majlis berkenaan.

Setakat 3 petang tadi, statistik laman CovidNow menunjukkan 69.7 peratus atau bersamaan lebih 22.767 juta rakyat negara ini lengkap vaksinasi.

Dari jumlah berkenaan, 93.8 peratus daripada golongan dewasa 18 tahun ke atas manakala remaja berusia 12 hingga 17 tahun sebanyak 25.6 peratus.


Pengarang :