Selangorkini
Keadaan tanah mendap di Jalan Sri Hartamas 1 yang ditutup sepenuhnya kepada pengguna selepas hujan lebat pada 20 Oktober 2021. Foto Twitter ITIS DBKL
AGENDA NASIONAL

Tanah mendap, laluan Sri Hartamas 1 ditutup sepenuhnya

SHAH ALAM, 20 OKT: Laluan kedua-dua arah Jalan Sri Hartamas 1, dari arah Jalan Dutamas 1 ke arah Pejabat Kementerian Dalam Negeri, ditutup sepenuhnya berikutan berlaku mendapan besar susulan hujan lebat di ibu negara hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan, bagaimanapun orang ramai dinasihat tidak menggunakan laluan berkenaan.

Jelas beliau, kejadian tanah mendap kecil mulanya berlaku semalam kira-kira jam 11.30 malam.

“Rentetan hujan lebat di sekitar Kuala Lumpur bermula dari jam 2 petang mengakibatkan kejadian mendapan tanah menjadi lebih besar sehingga menyebabkan dua lorong di Jalan Sri Hartamas 1 ke arah Pejabat Kementerian Dalam Negeri, Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur tidak boleh dilalui.

“Pada 7.30 malam kedua-dua arah Jalan Sri Hartamas 1 ditutup sepenuhnya. Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya tidak menggunakan laluan tersebut,” katanya menerusi kenyataan malam ini.


Pengarang :