AGENDANASIONAL

Tidak wajib, warga emas, petugas kesihatan disaran ambil dos penggalak

SHAH ALAM, 7 OKT: Kerajaan persekutuan menyarankan kumpulan tertentu seperti warga emas dan petugas barisan hadapan mengambil dos penggalak vaksin Covid-19 untuk mengekalkan tahap imuniti mereka.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata dos berkenaan tidak wajib dan tidak akan menjejaskan status lengkap vaksin seseorang individu.

“Kita akan tawarkan dos penggalak kepada kumpulan yang kita rasa layak menerimanya tetapi ia bukan wajib.

“Kita tidak akan paksa tapi kita sangat mengesyorkan, enam bulan selepas dos kedua,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, dos penggalak diberikan memandangkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati terdapat sedikit penurunan respon imun daripada vaksin yang diberi sebelum ini.

Sarawak dilaporkan akan memulakan pemberian dos penggalak pada bulan ini sekali gus menjadi negeri pertama yang memulakan inisiatif berkenaan.

Khairy berkata KKM menyediakan garis panduan klinikal mengenai pelaksanaan pemberian dos penggalak dan ia akan memberi fokus kepada golongan berisiko tinggi berusia 60 tahun ke atas, serta mereka yang mempunyai komorbid serius.

 

 


Pengarang :