AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Penduduk disaran simpan bekalan air, 105 lori tangki disediakan

SHAH ALAM,  7 OKT: Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) menyediakan bekalan ke premis kritikal mulai 13 Oktober susulan kerja menaik taraf aset loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) demi keselesaan pengguna pada masa depan.

Antara yang diberi tumpuan untuk penyaluran bekalan air itu antaranya hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

Sepanjang tempoh itu, sebanyak 105 lori tangki air akan digerakkan ke kawasan terlibat serta 18 pili air awam mulai 14 hingga 16 Oktober untuk kemudahan pelanggan di sepanjang tempoh berkenaan.

Pelanggan komersial pula boleh membeli bekalan menggunakan lori tangki masing-masing di empat stesen pengisian air setempat dengan pembayaran di 10 kaunter khidmat pelanggan Air Selangor.

Penduduk 998 kawasan di Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor diminta menyimpan bekalan air mulai 9 pagi 13 Oktober.

Kerja penyelenggaraan pulih sepenuhnya pada 9 malam 16 Oktober.

Senarai lengkap kawasan terlibat, pili air awam dan stesen pengisian air setempat boleh didapati di laman pautan hentitugas.airselangor.com

Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat berhubung perkara itu dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagran dan Twitter atau hubungi agensi itu di talian 15300.

Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Pusat Bantuan di lawaman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.


Pengarang :