Keadaan kawasan dilanda fenomena air pasang besar di Pantai Kelanang, Kuala Langat pada 8 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tujuh kawasan dilimpahi air pasang besar, waspada jika hujan lebat

SHAH ALAM, 8 OKT: Sebanyak tujuh kawasan di negeri ini dilimpahi air susulan fenomena air pasang besar hari ini, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor.

Norazam Khamis berkata kawasan terbabit ialah Jeti Pelabuhan Selatan, Pengkalan Nelayan Telok Gong; Pantai Remis, Jeram; Sungai Janggut, Pasir Penambang, Kg Tok Muda Kapar, Pantai Morib Lama, Pantai Morib Baru dan Pantai Kelanang.

“Berlaku sedikit limpahan air kira-kira 0.2 meter tetapi masih terkawal. Air pasang besar berlaku jam 6 pagi dan kembali surut selepas satu jam.

“Kita menjangkakan keadaan mungkin buruk dan air naik sekiranya hujan lebat,” katanya kepada SelangorKini.

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) meninjau air laut yang melimpah hingga ke jalan raya berikutan fenomena air pasang besar di Pantai Kelanang, Kuala Langat pada 8 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Norazam turut menasihatkan orang ramai mengambil langkah pencegahan dengan menyelamatkan barangan berharga dan peralatan elektrik untuk mengelak berlakunya renjatan.

“Kita minta jika terdapat arahan berpindah penduduk akur demi keselamatan mereka.

“Bomba sentiasa bersedia dan lebih kerap melakukan pemantauan ketika air pasang besar,” katanya.

Semalam, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menasihatkan penduduk di kawasan pesisir pantai di daerah itu supaya berwaspada sepanjang fenomena air pasang besar yang berlaku mulai hari ini hingga 10 Oktober.

Antara kawasan yang terbabit ialah Pantai Kelanang, Pantai Baru Morib, Pantai Morib, Taman Harmoni Morib, Istana Bahagia Morib, Pantai Batu Laut, Pantai Chunang dan Jeti Tanjung Sepat.


Pengarang :