Vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech selamat tiba di Pejabat Kesihatan Putrajaya pada 24 Februari 2021. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Analisis: Setia terhadap jenama vaksin tidak jamin perlindungan daripada Covid-19

Oleh Nina Muslim

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Selepas kira-kira sembilan bulan pelaksanaan program pemvaksinan Covid-19 di negara ini dengan lebih 25 juta penduduk lengkap divaksinasi, isu “keberatan terima vaksin” timbul kembali.

Kali ini membabitkan vaksin Pfizer dan AstraZeneca sebagai dos penggalak, khususnya dalam kalangan penerima vaksin Sinovac.

Sepanjang penularan pandemik yang kini menghampiri dua tahun, pelbagai bolak-balik disaksikan – tentang penggunaan pelitup muka, varian Alpha, Beta dan Delta, malah tentang dos vaksin – keputusan serta hal-hal berkaitan garis panduan kesihatan dibuat dengan tangkas, dan bagi orang kebanyakan, sentiasa berubah-ubah.

Pengambilan dos penggalak menggunakan vaksin jenama lain mungkin boleh menjejaskan strategi pemvaksinan semasa dalam kalangan masyarakat yang masih lagi berdepan kesukaran untuk menerima vaksin.

Tan Saw Choo dari Kedah, memanfaatkan laman sosial Facebook untuk mengulas laporan berita tentang dos penggalak heterologus (pemberian dos penggalak menggunakan jenama vaksin berlainan). “Kenapa saya harus ambil Pfizer sebagai dos penggalak hanya untuk habiskan stok (anda). Saya nak tunggu dos penggalak Sinovac, bukan ‘campur dan padan’,” tulis individu itu.

Dalam hantaran menerusi akaun Twitter beliau baru-baru ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kira-kira 40 peratus individu tidak hadir untuk menerima dos penggalak, dan memberi peringatan “jika kadar pengambilan dos penggalak rendah, khususnya dalam kalangan warga emas dan kelompok berstatus komorbid, angka kemasukan ke hospital akan meningkat.

“Ini pasti. (Justeru) Jika anda diberikan janji temu, terima saja dos penggalak itu.”

Malaysia telah memulakan pemberian dos penggalak Pfizer kepada petugas barisan hadapan, warga emas dan kelompok berstatus komorbid sejak bulan lepas, setelah tahap imuniti mula menurun dan kes kembali meningkat. Penerima vaksin Pfizer dan AstraZeneca dijangka menerima dos penggalak mereka enam bulan selepas dos terakhir, sementara penerima Sinovac pula perlu diberikan dos penggalak dalam tempoh tiga hingga enam bulan selepas dos kedua mereka.

Sekalipun kesemua tiga jenis vaksin itu, setakat 17 Nov lepas, menerima kelulusan bersyarat sebagai dos penggalak di Malaysia, pihak berkuasa kesihatan menganjurkan penerima Sinovac agar mengambil sama ada Pfizer atau AstraZeneca sebagai dos ketiga, melainkan mereka mempunyai alahan.

Kaedah ini dikenali sebagai panduan pemvaksinan heterologus.

Penyelidik di Amerika Syarikat, Chile dan negara-negara lain mendapati penggunaan vaksin mRNA, sama ada Moderna atau Pfizer, atau vektor viral AstraZeneca sebagai dos penggalak, memberikan perlindungan terbaik daripada jangkitan Covid-19 dalam jangka panjang.

Isunya ialah meyakinkan orang ramai bahawa kaedah “campur dan padan” vaksin ini selamat. Sekalipun sains menunjukkan pemvaksinan heterologus berkesan dan selamat, ramai yang menganggap vaksinasi sama seperti membasuh pakaian – baju berwarna putih dan merah tidak boleh dibasuh bersekali.

Kumpulan doktor di Johor dan Sarawak melaporkan agak ramai pesakit mereka yang sebelum ini menerima vaksin Sinovac enggan menerima suntikan penggalak Pfizer.

Menjengah di platform media sosial bagi melihat pandangan rakyat Malaysia tentang mencampur vaksin, didapati ramai yang tidak gembira menerima Pfizer sebagai dos penggalak – kebanyakannya takut dengan kesan jangka panjang akibat mencampur vaksin dan juga penggunaan vaksin messenger ribonucleic acid (mRNA), iaitu satu teknologi baharu.

Ada juga yang menuduh kerajaan terpengaruh dengan propaganda Barat terhadap China dan ada pula yang percaya kerajaan cuma mahu menghabiskan saki-baki stok Pfizer.

Campur aduk berkesan

Sekalipun mRNA merupakan teknologi baharu penghasilan vaksin, kaedah mencampur jenis-jenis vaksin sudah lama dilakukan.

Pakar virologi Dr Vinod Balasubramaniam memberitahu Bernama bahawa pengeluar vaksin Johnson and Johnson telah berbuat demikian untuk vaksin Ebola yang merupakan panduan vaksinasi dua dos. Satu dos menggunakan vaksin monovalen, sementara satu lagi merupakan vaksin pelemah virus cacar (pox).

Selain itu katanya kajian di Eropah, Amerika Selatan serta bahagian-bahagian lain di dunia mengenai pemvaksinan Covid-19 secara heterologus, terus menunjukkan keberkesanan mencampur vaksin.

“Menerusi pemvaksinan, tubuh kita mempunyai ‘gambar’ (virus). Apabila kita campur dua jenis vaksin berbeza, bermakna kita menunjukkan gambar itu dari dua sisi berlainan agar memori kita dapat merakam foto patogen itu. Ini lebih baik berbanding menggunakan hanya satu sisi. Inilah yang dilakukan menerusi campur dan padan,” jelas beliau.

Eropah menggunakan campuran vaksin AstraZeneca dan Pfizer, namun di sesetengah negara — disebabkan kekurangan bekalan sejak Mei — mula mengumumkan hasil kajian mereka tentang keberkesanan vaksin Sinovac yang disertakan dos penggalak AstraZeneca, Pfizer atau Sinovac.

Kajian yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Chile dan dibentangkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 25 Okt lalu, mendapati penerima Sinovac yang diberikan suntikan penggalak sama ada AstraZeneca atau Pfizer, memperoleh perlindungan masing-masing 91 dan 93 peratus terhadap jangkitan, serta 97 dan 91 peratus daripada kemasukan ke hospital.

Penerima Sinovac yang menerima dos ketiga Sinovac hanya memperoleh perlindungan 71 peratus terhadap jangkitan dan 85 peratus daripada kemasukan ke hospital.

Pakar virologi daripada Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Nazlina Ibrahim pula menjelaskan cara vaksin Covid-19 “bekerja”.

Jelas beliau sistem imun mempunyai tiga bahagian – makrofaj, sel-T dan sel-B.

Makrofaj memakan ‘penceroboh’ atau sel mati dan ia meninggalkan sebahagian daripada sisa sel kuman atau virus yang menceroboh, dipanggil antigen, dan tubuh mengenal pasti sisa itu sebagai berbahaya lalu “memberitahu” sel-T dan sel-B agar menghasilkan antibodi bagi membunuh antigen. Sel-T menyerang sel-sel yang dijangkiti sementara sel-B menyerang saki-baki antigen.

Di dalam badan individu yang tidak divaksinasi, apabila tubuhnya terdedah kepada virus atau kuman buat pertama kali, ia memerlukan masa beberapa hari untuk mencari jalan bagi “menyerang” penceroboh dan menghasilkan “alat” bagi menyingkirkan jangkitan. Sekiranya individu itu terselamat, tubuhnya akan mengingati bagaimana ia melawan penceroboh tersebut selama suatu tempoh.

Pemvaksinan merupakan simulasi jangkitan itu, mengajar sistem imun agar mengenali virus khusus – dalam kes Covid-19, protein pepaku yang digunakan oleh virus untuk melekapkannya pada sel-sel sihat.

Dr Nazlina berkata kajian Chile menunjukkan vaksin Sinovac hanya menghasilkan antibodi daripada sel-B, tiada sel-T, manakala satu dos Pfizer menawarkan tindak balas sel-T yang kuat untuk membunuh sel yang dijangkiti.

“Apabila kita gabungkan dua jenis vaksin ini, kita dapat perlindungan yang lebih baik dari segi imuniti,” katanya.

Mengenai kemungkinan wujud masalah kesihatan jangka panjang, Dr Nazlina dan Dr Vinod berkata vaksin tidak berfungsi seperti itu kerana ia bukan ubat. Ubat boleh menyebabkan masalah kesihatan dalam jangka panjang.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), potensi untuk vaksin termasuk vaksin Covid-19 menyebabkan kesan jangka panjang adalah sangat rendah. Kesan sampingan atau advers biasanya berlaku dalam tempoh enam bulan selepas menerima satu dos vaksin.

Lebih 3.22 bilion penduduk dunia menerima dos lengkap vaksin Covid-19 dengan hanya sedikit kesan sampingan yang serius dilaporkan.

“Kesan sampingan utama vaksin ialah survival, itu sebabnya kita masih hidup sekarang,” tambah Dr Vinod.

Mamahamkan mesej

Sekalipun kaedah mencampur vaksin Covid-19 selamat dan berkesan, memahamkan orang awam tentang subjek yang agak sukar ini bukanlah mudah.

Kebanyakan perkongsian melalui media sosial oleh penerima Sinovac yang enggan menerima Pfizer sarat dengan maklumat salah dan teori konspirasi. Namun, dalam ruang komen ada juga rayuan daripada ahli masyarakat meminta mereka menerima dos penggalak agar kes tidak meningkat dan menyebabkan pelaksanaan satu lagi sekatan pergerakan.

Pakar komunikasi Abdul Hamid Saifuddin berkata pesanan khidmat awam berhubung topik sukar harus disampaikan dalam bentuk bahasa harian yang mudah difahami bagi memastikan keberkesanannya.

“Kita harus perincikan kepada mereka, jelaskan satu demi satu. Memang jerih, namun akhirnya orang akan faham dan timbul rasa ingin tahu yang pastinya membantu mengubah fikiran mereka,” katanya.

Hamid yang juga pensyarah perhubungan awam di Universiti Teknologi MARA, berkata pegawai kesihatan awam terlalu bergantung pada jargon apabila cuba menyebarkan maklumat.

Pesanan yang dihantar secara konsisten dan setiap hari akan meningkatkan tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat, tambahnya.

Beliau turut mencadangkan agar pihak berkuasa kesihatan dan mereka yang berkepentingan menggunakan kaedah komunikasi moden seperti meme atau video pendek TikTok bagi menjelaskan kebaikan panduan vaksinasi heterologus kepada “mak cik dan pak cik yang menggunakan WhatsApp”.

Bagaimanapun, beliau dan juga Dr Vinod berpandangan kerajaan tidak seharusnya menjadi jurucakap utama dalam hal ini memandangkan sebahagian rakyat kini agak skeptikal terhadap pihak berkuasa kesihatan dan ada yang menyalahkan institusi itu berhubung penularan pandemik yang hingga kini masih belum berakhir.

Dr Vinod yang bertugas di Monash University-Malaysia, berkata pengamal perubatan umum dan doktor keluarga boleh menerajui usaha itu dengan mendidik pesakit mereka tentang kebaikan “campur dan padan” vaksin.

“Nasihat daripada doktor akan membawa perbezaan besar. (Orang) biasanya tidak akan dengar cakap kita, namun ada ketikanya mereka akan dengar cakap doktor mereka,” katanya.

Kini, usaha pemvaksinan dan pemberian dos penggalak dilaksanakan oleh klinik kesihatan awam dan swasta. Bagaimanapun ada perancangan untuk membuka semula pusat pemvaksinan bagi membantu usaha tersebut. Selain itu, pengambilan vaksin penggalak tanpa janji temu juga akan dibenarkan dengan senarai premis diumumkan pada 22 Nov ini.

Dr Nazlina bagaimanapun berkata mesej itu sampai dan masyarakat perlu percaya kepada sains dan sedar bahawa jalan terbaik untuk melindungi diri mereka serta orang sekeliling ialah dengan menerima kesemua dos suntikan.

“Vaksinasi ini bagaikan penghadang kepada anda, sesuatu yang menjadi perisai anda apabila tiba masanya. Mencegah lebih baik daripada merawat,” tegasnya.

– BERNAMA


Pengarang :