Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Dato’ Indera Dr Sha’ari Ngadiman (dua, kiri) bersama Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad (kiri) melihat petugas kesihatan memberi suntikan pelalian Covid-19 pada program vaksinasi khas guru Kafa dan pegawai masjid di Dewan Syarahan dan Muzakarah, Masjid Negeri, Shah Alam pada 22 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jais: Tiada kompromi individu tolak vaksin tanpa alasan kukuh

SHAH ALAM, 24 NOV: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang menolak vaksin Covid-19 tanpa alasan kukuh.

Pengarahnya Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata pihaknya kini dalam tempoh meneliti faktor kakitangan seliaanya yang belum menerima dos pelalian.

“Kita masih meneliti perkara ini kerana mungkin ada segelintirnya enggan divaksin sebab faktor kesihatan dan mereka ada bukti lampiran daripada pihak perubatan.

“Namun, Jais tidak berkompromi dengan mana-mana individu yang tidak mahu divaksin dengan sengaja… tindakan tegas akan dikenakan kepada mereka termasuk larangan bertugas,” katanya.

Berdasarkan data yang dikongsi, seramai 311 kakitangan Jais belum mendapat suntikan tersebut iaitu 207 ahli jawatankuasa masjid, 100 guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) dan empat jurunikah.

Pada 22 September, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menzahirkan kekecewaan apabila dimaklum seramai 96 individu daripada golongan terbabit menolak untuk divaksin.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga kecewa apabila hanya 203 individu sertai program vaksinasi khas Covid-19 untuk petugas Jais sedangkan seramai 873 orang diarahkan hadir.

Baginda bertitah akan meneliti nama individu yang memutuskan untuk tidak divaksin dan satu ketetapan berhubung tindakan yang akan diambil terhadap mereka bakal ditentukan kelak.


Pengarang :