Hapisah Salim, 60, memeriksa koleksi pakaian yang dijual di butiknya di Plaza GM Klang pada 9 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
RENCANA RENCANA

Karisma wanita kontena, bekas sarjan udara bertahan dalam pandemik

Mengeluh panjang Hapisah Salim, 60, apabila terbaca di media sosial akan pengumuman mengenai sekatan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mei 2021.

Wanita ini tahu benar kesan PKP terhadap perniagaannya. Pasti untung merudum manakala hutang bertambah. PKP pertama sudah mengajarnya.

Terlintas di fikiran akan nasib 13 pekerja yang kebanyakannya ibu tunggal. Bagaimana mahu membayar gaji? Kedai kena tutup sebab PKP. Persoalan itu ligat bermain di mindanya.

Lagi pening beliau perlu mencari modal pusingan sebanyak RM50,000 sebulan bagi membayar sewa 21 lot kedai sedangkan perniagaannya akan hilang pendapatan selama tiga bulan.

Ibu empat anak itu kecewa dengan keadaan tersebut. Namun terpaksa akur arahan kerajaan menutup perniagaan dan seraya ligat mencari jalan untuk menampung kerugian.

Akhirnya, Hapisah menutup sembilan daripada 21 lot kedai perniagaan pakaian bagi mengurangkan tanggungan sewa di Plaza GM Klang.

Pengusaha syarikat logistik dan pemborong pakaian, Hapisah Salim, 60 ketika ditemui Selangorkini pada 9 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Turut terjejas, syarikat logistik miliknya di Pelabuhan Klang. Sebelum pandemik Covid-19 syarikatnya menguruskan lebih 400 kontena sebulan tetapi sepanjang PKP jumlahnya berkurangan separuh.

Meski perit, Hapisah teguh mendisiplinkan diri dengan mengamalkan gaya hidup sederhana dan pengurusan kewangan cekap. Terbukti langkah itu menjadi penyelamat.

“Walaupun orang kata saya ada syarikat logistik, banyak kedai baju dan kerepek tetapi saya tiada kereta mewah dan banglo mewah. Cuma biasa-biasa sahaja.

“Hidup saya sekeluarga sederhana tetapi dapat berkongsi rezeki dengan anak dan pekerja,” katanya kepada Selangorkini di butik pakaian pengantin miliknya di Plaza GM Klang 9 November.

Dunia logistik

Pada 1998, wanita berhati waja ini tamat perkhidmatan sebagai Sarjan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Beliau kemudian bekerja di syarikat logistik Korea Selatan di Pelabuhan Klang selama tiga tahun. Pekerjaan itu membolehkannya mempelajari selok-belok perniagaan logistik hingga mahir.

Tambahan pula, tidak ramai wanita dalam bidang tersebut menyebabkan beliau dikenali ramai dalam kalangan kakitangan pelabuhan. 

Atas pengalaman dan kemahiran yang ada, beliau merealisasikan impian membuka syarikat logistik sendiri. 

“Membuka syarikat logistik tidak perlu beli lori atau treler untuk angkut kontena tetapi kita cuma sewa pejabat operasi untuk menguruskan urusan di pelabuhan dan pengangkutan seperti lori kontena untuk pelanggan supaya barang mereka dapat dihantar ke destinasi.

“Sebagai anggota teknikal dalam TUDM dahulu saya biasa panjat sayap kapal terbang. Tidak menjadi masalah saya buat kerja yang biasanya lelaki buat termasuk panjat kontena untuk diperiksa,” katanya.

Syarikat logistiknya dibuka pada 2001, bersama seorang rakan kongsi dengan bermodal baki wang ganjaran perkhidmatan TUDM untuk menyewa pejabat dan kelengkapan serta menggaji pekerja.

Pakaian borong

Penglibatan Hapisah menyebabkan beliau mengenali ramai pengimport pelbagai produk luar negara antaranya pengimport tekstil dan pakaian.

Suatu hari, seorang rakan pengimport mencadangkan beliau mengembangkan perniagaan menjual pakaian yang diimportnya.

“Saya ditawarkan baju dan kain import dengan harga murah tanpa melalui pemborong. Saya setuju, pada mulanya suka-suka jual kepada rakan, kakitangan dan berniaga di Bazar Jalan Taiping, Klang pada musim perayaan sahaja.

“Makin lama makin seronok. Bila permintaan makin banyak saya mula berniaga pakaian lebih serius di Plaza GM semasa mula dibuka sekitar 2010. Saya antara penyewa terawal masa Plaza GM mula dibuka,” katanya.

Hapisah dibantu anak keduanya, Nur Azni Asyrina Abdul Rahman, 30, menguruskan perniagaan di Plaza GM yang terkenal sebagai gedung perniagaan berkonsepkan borong. 

Bermula satu lot kedai, wanita itu menyewa lagi beberapa lot hingga mencapai 21 lot keseluruhan dengan sewaan antara RM1,000 hingga RM7,000 setiap satu.

Beliau mengembangkan perniagaan dengan membuka kedai baju kurung dan butik pengantin sebelum menambah produk kerepek, keropok ikan dan kekacang serta barangan sejuk beku.

Pakaian keluarannya pula dijahit oleh kilang jahit ‘bundle’ yang mampu menghasilkan kira-kira 200 pakaian sehari termasuk baju kurung khususnya menjelang musim perayaan.

Bagi menampung modal pusingan tambahan, Hapisah membuat pinjaman Hijrah Selangor.

“Saya beberapa kali buat pinjaman Hijrah Selangor, ada RM10,000, RM50,000. Kali terakhir kira-kira dua tahun lepas, sudah habis bayar pun.

“Saya elak pinjaman jangka panjang dengan bank sebab itu saya pilih Hijrah Selangor yang lebih mudah dan bayaran cepat selesai,” katanya.

Di samping rangkaian perniagaan di Plaza GM, syarikat logistiknya mampu bertahan menghadapi cabaran ekonomi era Covid-19.

Turut memberi tips penting untuk golongan usahawan berjaya dalam perniagaan, beliau berpegang kepada sikap amanah, membantu golongan memerlukan dan sentiasa menetapkan berniaga kerana Tuhan.

Pekerja sedang menyusun dan memasukkan produk kerepek yang dijual di gerai diusahakan Hapisah Salim di Plaza GM Klang. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :