Selangorkini
Foto Facebook Kangaroo Mother Care
PENDAPAT RENCANA

‘Penjagaan ibu kangaroo’ bantu pertumbuhan bayi pramatang

*Rencana ini bersempena Hari Kelahiran PraMatang Sedunia yang disambut pada 17 November setiap tahun.

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Fateen Najehan Tuan Hussain menguntum senyuman, melihat anak perempuannya, Aisyah Humaira Mohd Afiq yang berumur setahun berlari sambil ketawa girang di taman.

Anak sulungnya itu yang dilahirkan pada 3 Januari 2020 adalah bayi pramatang, dilahirkan sebulan lebih awal (tidak cukup bulan) dan mempunyai berat badan hanya 1.4 kilogram.

Mempunyai bayi pramatang sememangnya pengalaman yang mencemaskan bagi kebanyakan pasangan termasuklah Fateen, 32, dan suaminya, Mohd Afiq Zulkifli, 33.

Ketika kandungannya masuk minggu ke-32, Fateen pergi ke Klinik Kesihatan Kampung Pandan untuk pemeriksaam rutin pranatal. Doktor yang membuat pemeriksaan itu memberitahu Fateen bahawa bayinya agak kecil daripada sepatutnya dan dalam masa yang sama, beliau didiagnos menghidap praeklampsia yang teruk.

Praeklampsia adalah komplikasi kehamilan yang mempunyai ciri-ciri tekanan darah tinggi dan tanda kerosakan yang teruk kepada sistem organ yang lain, kebanyakannya hati dan buah pinggang. Ia lazimnya berlaku selepas kehamilan 20 minggu bagi wanita yang sebelumnya mempunyai tekanan darah normal.

“Atas nasihat doktor, selepas pemeriksaan itu, saya dirujuk ke Hospital Ampang dan juga terpaksa menjalani pembedahan ‘emergency caesarean’, ” ibu kepada dua orang cahaya mata ini berkongsi pengalamannya dengan Bernama, baru-baru ini.

Menurut Fateen, Aisyah lahir sebagai ‘Baby Intrauterine Growth Restriction (IUGR)’ dan dengan beratnya hanya 1.4 kilogram, terpaksa ditahan di Unit Penjagaan Intensif Bayi Yang Baru Dilahir (NICU) selama sebulan kerana tidak cukup berat.

IUGR bermaksud apabila janin tidak membesar seperti yang dijangkakan untuk tahap kehamilan ibu.

Bagi Fateen dan suaminya Mohd Afiq Zulkifli, pengalaman sebagai ibu bapa bayi pramatang sangat mencabar kerana tidak menjangka untuk menyambut kelahiran anak pertama mereka sebulan lebih awal.

Pasangan ini terpaksa berulang-alik dari rumah mereka di Wangsa Maju ke NICU Hospital Ampang untuk dilatih menjaga bayi pramatang mereka menggunakan kaedah ‘Penjagaan Ibu Kangaroo’ (Kangaroo Mother Care/KMC).

“Pada mulanya agak kelam-kabut sebab ia merupakan perkara baharu bagi kami namun dengan bantuan jururawat dan doktor, akhirnya saya dapat mengatasi fobia untuk memegang bayi saya sendiri di NICU,” kata Fateen.

“KMC sangat penting dalam memberi perkembangan positif untuk anak saya sama ada di NICU ataupun selepas discaj dan pulang ke rumah.

“Namun, bukan semua ibu bapa ‘preemie’ (bayi pramatang) didedahkan dengan kaedah KMC. Ada hospital yang tidak dibenarkan ibu bapa berada di NICU ketika musim pandemik dan mereka terpaksa berjauhan dengan bayi mereka dengan mengirim susu ibu menerusi kakitangan hospital,” katanya.

Bayi pramatang

Dr Hasmawati Hassan, Pakar Pediatrik dan Neonatologi, Sunway Medical Centre Velocity berkata bayi pramatang adalah bayi yang dilahirkan lebih awal daripada tempoh kehamilan 37 minggu.

Menurut beliau, setiap tahun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan seramai 15 juta bayi dilahirkan pramatang, iaitu seorang dalam 10 bayi. Lebih daripada 60 peratus kelahiran pramatang berlaku di Afrika dan Asia Selatan.

“Di Malaysia, kira-kira 12.3 peratus kelahiran bayi adalah bayi pramatang iaitu sekitar 500,000 bayi pramatang setahun.

“Menurut Pendaftaran Neonatal Kebangsaan Malaysia, sebanyak 35,714 atau 10.8 peratus daripada 331,055 kelahiran bayi di 44 pusat kesihatan di Malaysia pada tahun 2019, melibatkan bayi pramatang. Daripada jumlah itu, sebanyak 73.2 peratus adalah antara 34 hingga 36 minggu,” beliau membertahu Bernama dalam temu ramah eksklusif baru-baru ini.

Beliau menambah, kelahiran bayi pramatang yang kurang berat badan iaitu kurang daripada 2.5 kilogram menyumbang kepada 60 peratus hingga 80 peratus kematian neonatal.

“Bagaimanapun, keadaan ini boleh dicegah dengan menggunakan langkah intervensi seperti kawalan infeksi dengan mengamalkan langkah kebersihan yang betul, menyusu badan dan KMC antara ibu dan bayi.

“KMC menyediakan penjagaan perkembangan untuk bayi pramatang untuk selama enam bulan dan bayi yang dilahirkan cukup bulan selama tiba bulan. Amat penting untuk memenuhi keperluan bayi termasuk perlindungan daripada jangkitan, keselamatan dan kasih sayang, ” katanya.

Penjagaan ibu kangaroo

Dr Hasmawati, yang juga naib presiden Kangaroo Mother Care Advocate Malaysia (KAMY) berkata, KMC disyorkan untuk semua bayi sebaik sahaja dilahirkan bagi memastikan penjagaan yang sempurna dan apabila memindahkan bayi yang sakit selepas dilahirkan ke pusat kesihatan.

“Ini model penjagaan, iaitu alternatif kepada inkubator bagi bayi pramatang dan juga disyorkan oleh WHO di semua negara sebaik sahaja bayi pramatang distabilkan selepas dilahirkan,” katanya.

Menurut beliau, bukti klinikal menunjukkan KMC berkesan dalam meningkatkan perkembangan saraf bayi yang baru dilahirkan, menstabilkan fungsi fisiologi, serta menurunkan tekanan yang dihadapi oleh para ibu selepas melahirkan bayi mereka.

“Ia memulakan proses jalinan hubungan antara ibu dan bayi, meningkatkan daya tidur serta perkembangan otak, serta berkesan untuk penyusuan badan.

“Penyusuan badan menggunakan kaedah KMC untuk bayi pramatang menyumbang kepada peningkatan sistem imun dalam kalangan bayi pramatang. Ini membantu mempercepatkan pertumbuhan bayi dan membolehkan bayi didiscaj dari NICU,” katanya.

Wajibkan untuk semua NICU

WHO mengesyorkan supaya ibu tidak dipisahkan daripada bayi yang baharu dilahirkan dan menurut Dr Hasmawati, ini juga melibatkan kes Covid-19 yang disyaki atau disahkan dengan menggunakan peralatan perlindungan diri dan pembersihan kuman di atas permukaan yang digunakan.

“Analisis terkini dari WHO menunjukkan terdapat pertambahan risiko kematian dalam kalangan bayi pramatang atau bayi yang kurang berat badan sekiranya KMC tidak diamalkan. Risiko ini adalah 65 kali ganda berbanding kematian akibat jangkitan Covid-19 dalam kalangan bayi yang baru dilahirkan.

“Hakikatnya, sehingga seramai 125,000 bayi boleh diselamatkan daripada jangkitan Covid-19 sekiranya KMC diamalkan sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, Profesor Madya Dr Rosnah Sutan, Perunding Kanan Kesihatan Keluarga, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, setakat ini, maklumat kesihatan yang terkini, tepat dan mudah berkenaan dengan penjagaan bayi pramatang yang diamalkan adalah terhad di Malaysia.

“Garis Panduan neonatal yang diterbitkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, secara umum memberi fokus kepada pelan penjagaan bayi yang baru dilahirkan, tetapi hanya mensasarkan penjaga.

“Malangnya, modul tertentu atau pakej mengenai pendidikan ibu bapa untuk pelan penjagaan tertentu, belum ada, khususnya, untuk membimbing pekerja penjagaan kesihatan menangani ibu bayi pramatang di NICU dan selepas didiscaj,” katanya.

Oleh yang demikian, tambah beliau, sudah tiba masanya untuk menyediakan pakej pendidikan dan mendidik ibu bapa sebelum bayi didisaj daripada NICU dengan maklumat bertulis yang betul, yang dapat membantu penjagaan bayi di rumah.

“Perkara ini penting kerana ramai ibu bapa berasa sukar dan tidak bersedia untuk menjaga bayi mereka selepas didiscaj daripada NICU.

“Di samping itu, penjagaan bayi pramatang yang baik serta berkualiti di rumah dapat diamalkan sekiranya terdapat maklumat yang tepat serta dibantu dengan bahan pendidikan, ” katanya.

Cara betul penjagaan ibu kangaroo

Untuk mengamalkan kaedah ‘penjagaan ibu kangaroo’ (Kangaroo Mother Care/KMC) ini, si ibu perlu memakai kantung pembawa yang khusus, sebelum meletakkan bayi, antara payu dara dalam keadaan kedudukan bayi yang menegak.

Menurut Dr Hasmawati, kepala bayi perlu dipalingkan sebelah dan berada pada kedudukan yang tinggi sedikit supaya tidak menghalang saluran pernafasan bayi.

“Pastikan ibu dan bayi boleh saling pandang-memandang. Pastikan juga pinggul serta tangan bayi dalam kedudukan seperti katak. Perut bayi perlu berada pada paras epigastrium (bahagian atas perut) ibu. Pernafasan ibu akan merangsang bayi, dan ini mengurangkan berlakunya apnea (gangguan tidur yang serius).

“Ibu juga perlu menggunakan anduh untuk menyokong bahagian bawah bayi, ” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :