Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sesi dialog bersama pimpinan mahasiswa Selangor di Hotel Wyndham Acmar, Klang pada 29 November 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor anjur program dialog, dekati mahasiswa

KLANG, 30 NOV: Kerajaan Selangor giat memperkasa golongan mahasiswa dengan menganjurkan program dialog untuk bertukar buah fikiran, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu dilaksana bagi mewujudkan hubungan dua hala yang akrab antara Kerajaan Negeri dan pelajar termasuk melibatkan mereka ke arah pembangunan negeri.

“Banyak kali kita anjurkan program dialog sebelum ini dan ia merupakan platform terbaik kita berhimpun bersama mahasiswa bertukar pendapat dan jika ada keperluan kita akan bekerjasama dengan universiti itu untuk merangka dan saling membantu (merangka kajian).

“Sebelum ini kita ada kerjasama dengan Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi MARA, Universiti Kebangsaan Malaysia iaitu membina sebuah kursi pusingan dana dan Unitar pula untuk membuat kajian kadar kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Dialog Dato’ Menteri Besar Bersama Pimpinan Mahasiswa di Institut Pengajian Tinggi Negeri Selangor dekat Hotel Wyndham Acmar di sini malam tadi.

Pada masa sama, Amirudin turut menasihatkan mahasiswa perlu berfikir luar kotak dan tidak terpengaruh dengan gangguan media sosial yang adakalanya boleh membawa ke arah negatif.

“Menerusi dialog ini juga cara untuk kita tangani simpang siur suara yang timbul dalam kalangan anak muda masa kini yang mengalami perubahan begitu pantas ditambah adanya media sosial,” katanya.

Program dialog anjuran Kerajaan Negeri itu membabitkan penyertaan 17 institusi pengajian tinggi awam dan swasta seluruh Selangor dengan kehadiran 150 pimpinan mahasiswa.

Antara institusi terlibat adalah Universiti Putra Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia, Universiti Selangor dan Universiti Teknologi MARA.


Pengarang :