Selangorkini
Chef Selebriti, Johari Edrus atau Chef Jo ketika ditemu bual di gerai pamerannya yang memasarkan produk ketupat palas pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 19 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sidang kemuncak perniagaan Selangor buka peluang makanan tradisi Melayu ke pasaran antarabangsa

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 menjadi platform usahawan memasarkan makanan tradisi Melayu ke peringkat antarabangsa.

Menurut Johari Edrus atau dikenali sebagai Chef Jo, menjadi hasratnya untuk membawa produk KetupatMas by Chef Jo yang sinonim sebagai makanan tradisi Melayu lebih terkenal di luar negara.

“Permintaan ketupat palas di luar negara memang ada tetapi masih tidak dipasarkan lagi sedangkan makanan itu boleh dijadikan hidangan sama ada waktu pagi atau petang.

“Buat masa ini, Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) menyatakan minat untuk membantu mengkomersialkan produk cuma kita perlu menambah baik dengan menggunakan teknik baharu iaitu teknologi retort yang membolehkan produk bertahan sehingga dua tahun selain pensijilan halal,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Chef Jo berkata industri kulinari perlu lebih kreatif dalam memasarkan produk untuk mengekalkan perniagaan ketika Covid-19.

“Kerajaan sudah membuka banyak industri tetapi dengan tatacara operasi piawai (SOP), terpulang kepada mereka untuk membuat promosi menggalakkan orang datang,” katanya.

Semalam, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor berkenan mencemar duli merasmikan SIBS 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Tengku Amir Shah mewakili Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj merasmikan sidang kemuncak yang berlangsung sehingga 21 November secara hibrid dan fizikal.


Pengarang :