Lawatan Dato’ Menteri Besar ke pusat penempatan mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Teluk Panglima Garang, Kuala Langat pada 19 Disember 2021. Foto RADIN WAZIR
AGENDABERITA UTAMANASIONALSELANGOR

90 peratus mangsa banjir seluruh negeri selesai dipindah

SHAH ALAM, 19 DIS: Sebanyak 90 peratus mangsa banjir di seluruh kawasan yang dilanda bencana banjir di Selangor berjaya diselamat dan dipindahkan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyifatkan proses pemindahan penting berikutan penduduk kekurangan kelengkapan selain faktor keselamatan.

Beliau juga menjelaskan hanya penduduk Seksyen 23,24,25 di sini, dianggar lebih 1,000 orang, yang masih dalam proses untuk diselamatkan.

“Ramai mangsa terperangkap di sini ada yang di rumah dan ramai juga menyelamatkan diri ke Sekolah Kebangsaan Taman Sri Muda.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari melawat mangsa banjir di Seksyen 23, Shah Alam pada 19 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Kawasan lain pula saya fikir sudah 90 peratus mangsa sudah berjaya dikeluarkan,” katanya selepas meninjau Sekolah Kebangsaan Taman Sri Muda selama empat jam malam ini.

Beliau mengakui usaha menyelamat berdepan cabaran suasana gelap dan air belum surut selain kereta terbengkalai yang menyukarkan pergerakan bot.

Petang tadi, Kementerian Pertahanan dalam kenyataan menyebut anggota tentera darat dari Divisyen Keempat Infantri Malaysia yang menjalankan operasi menyelamat berdepan kesukaran ekoran laluan bot terganggu objek yang tenggelam.

Hujan lebat luar biasa sejak semalam, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.


Pengarang :