Ketua Pembangkang merangkap Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajukan soalan dalam Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 pada 7 Disember 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Anwar sokong pinda perlembagaan, iktiraf sumbangan Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) — Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan antara Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan terhadap Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketika sesi perbahasan rang undang-undang berkenaan, Anwar berkata hal berkaitan MA63 merupakan antara perkara utama dalam Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan.

“Syarat diteruskan MoU adalah kelulusan pindaan Perlembagaan Persekutuan MA63, saya ucap terima kasih kepada Perdana Menteri dan Menteri (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) kerana usaha beliau mengadakan sesi libat urus mengambil kira beberapa pandangan,” katanya.

Anwar (PH-Port Dickson) turut memberi pengiktirafan terhadap sumbangan pemimpin Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak terdahulu yang mengasaskan Malaysia termasuk Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul Razak Hussein, Tun V.T. Sambanthan, Tun Datu Mustapha Datu Harun dan Tun Temenggung Jugah.

“Elok kita bagi penghargaan kepada pengasas negara Malaysia kerana saya tidak mahu generasi kini lupa bahawa penubuhan Malaysia adalah dengan usaha gigih pemimpin Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

“Kita tidak boleh melupakan bahawa kerana beberapa kelemahan semua pihak menyebabkan perjanjian ini yang telah termeterai 58 tahun lalu hanya dimaknai dan diterjemah dalam pelaksanaannya sekarang,” katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar membentangkan rang undang-undang itu bagi bacaan kali kedua bertujuan  mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

Datuk Seri Dr Geoffrey Katingan (Star-Keningau), Chong Chieng Jen (PH-Stampin) dan Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) turut menyuarakan sokongan terhadap rang undang-undang berkenaan.

Rohani berkata semangat dalam memastikan hak dan keistimewaan Sarawak dan Sabah dalam konteks MA63 diharap dapat dihormati dan difahami seluruh rakyat Malaysia.

“Saya bersama pimpinan GPS akan terus memperjuangkan hak-hak Sarawak yang termaktub dalam MA63 kerana ia adalah asas utama dalam penubuhan Malaysia,” katanya.

— BERNAMA


Pengarang :