Kanak-kanak kelihatan gembira menerima hadiah pada program `Kids Wishlist Come True’ di Pusat Pembangunan Komuniti Taman Sentosa, Klang pada 16 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADN SELANGOR

DUN Sentosa realisasi impian 100 kanak-kanak miliki barang idaman

KLANG, 16 DIS: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa merealisasikan impian 100 kanak-kanak untuk memiliki barang idaman selepas hampir sembilan bulan tertangguh akibat pandemik Covid-19.

Wakil rakyatnya berkata kanak-kanak berusia antara lima hingga 12 tahun menerima basikal, papan selaju, kasut sukan, alat permainan dan perkakas sekolah bernilai antara RM50 hingga RM300.

Menurut Dr G Gunarajah, inisiatif ‘Kids Wishlist Come True’ dengan kerjasama syarikat Concentrix bagi memberikan keceriaan kepada kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

“Idea pelaksanaan program ini tercetus sejak Mac lagi apabila kita menyedari ramai kanak-kanak daripada keluarga susah tertekan kerana duduk di rumah sepanjang pandemik.

“Jadi, peluang diberi kepada mereka untuk menyatakan kemahuan dengan harapan dapat mengembalikan kegembiraan walaupun sedikit lambat kerana kekangan pandemik,” katanya ditemui di Pusat Pembangunan Komuniti DUN Sentosa di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Bersekutu Concentrix Shreenath Venukopalan berkata seramai 4,500 kakitangan syarikat terbabit mencari barang berkaitan menggunakan wang sendiri bagi menjayakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Dalam tempoh seminggu, pekerja kami yang majoritinya bukan warganegara bergerak mengikut kumpulan dan berhasil mendapatkan barang tersebut.

“Kesemua mereka menunjukkan semangat berpasukan yang sangat baik. Kami gembira kerana dapat menyumbang khidmat kepada komuniti,” katanya.


Pengarang :