Selangorkini
BUDAYA RENCANA

Ingatan sebagai teman daripada seorang pelupa

Oleh Abdullah Hussaini

Saya sering mengatakan kepada beberapa orang teman bahawa saya seorang pengingat. Saya tidak mudah lupa. Kadang, saya pura-pura lupa untuk memenangkan orang yang mengingatkan saya atau untuk memastikan perbicaraan dengannya berpanjangan. Naim Aziz terkejut apabila saya dapat menyebutkan hantaran Facebooknya yang rupa-rupanya sudah berusia empat tahun ketika saya mengulangnya baru-baru ini. Atau, Rasydan Fitri tergelak apabila saya meraih kembali ingatan tentang ciri tubuhnya dan suasana ketika ia berpindah masuk ke sekolah menengah dan sebilik dengan saya—20 tahun yang lalu. Ini saya fikir mempunyai kesan lanjutan lainnya, seperti, saya (atau mungkin juga anda) gemar mengulang cerita sama ada sengaja atau tidak sengaja, kerana ada nikmat dalam menyampaikan apa yang kita ingat dengan kukuh, baik perkara manis atau pahit.

Tetapi apabila direnung semula, saya sebenarnya pelupa. Mana mungkin kita ingat segala. Ungkapan “manusia adalah insan pelupa” terlalu kuat untuk disangkal. Saya dapati hal-hal yang berlaku atau apa yang saya rencanakan untuk dilunaskan dalam masa terdekat, begitu mudah dilupakan. Misalnya senarai barang untuk dibeli di pasaraya. Biasanya saya akan catat dalam kepala saja dan, betapa kerap terjadi, ketika sampai di pasaraya, saya akan terlupa separuh daripada senarai itu, atau lupa semua. Demikianlah juga yang terjadi kepada ilham-ilham yang datang dalam bentuk kata, sepotong ayat, atau gambaran. Apa saja. Kalau tak dicatat, hilanglah dalam masa yang cukup pantas. Saya senaraikan beberapa tajuk esei dan isi-isinya yang kerap berlegar dalam kepala, dan belum ditulis lagi. Saya tulis ini sebagai peringatan kepada diri.

Di mana kediaman Roslan Jomel

“Cuba satu hari, kau ikut Roslan Jomel senyap-senyap, sampai ke rumah dia. Tengok rumah dia, kan. Kau tulis pasal ni. Best jugak tuh.” Kata Hafiz Hamzah sewaktu mengeteh di Mahbob Damansara Damai. Saya boleh tulis panjang perihal Roslan Jomel, karya atau budi baiknya kepada saya. Tapi untuk mengendap sampai ke rumah beliau, ia pasti memerlukan masa, siasatan teliti dan pelaporan akhirnya haruslah panjang yang sedap. Cerita perihal Roslan muncul apabila Hafiz bercerita ketika dia mula-mula mencari bahan untuk jurnal Svara kendaliannya. Roslan yang tidak membalas kembali emel ulasan Hafiz terhadap cerpennya, telah menimbulkan penasaran dalam benak editor itu. Kebetulan, saya kerap juga bertemu dan meluang masa dengan Roslan. Tapi dalam kalangan penulis yang sentiasa bertemu dengannya pasti maklum—Roslan tidak pernah memberitahu di mana kediamannya atau pekerjaannya.

Jika anda membaca cerpen-cerpennya, mungkin anda akan meneka dengan kuat bahawa watak-watak dalam cerpen itu adalah Roslan sendiri. Lokman Hakim pernah tertanya-tanya tentang ini, dan beberapa penulis lain juga; di mana rumah Roslan? Beberapa orang teman meneka-neka, Roslan sebenarnya penulis skrip, Roslan sebenarnya ghost writer, Roslan menang 4D bernilai jutaan ringgit dan menjalani hidup sederhana, Roslan sebenarnya anak bilionair, Roslan ada rumah besar di Sarawak. Kamu mungkin akan berkata, buat apa nak sibuk-sibuk kehidupan peribadinya, tumpu pada karyanya sudahlah. Saya Cuma nak tengok koleksi topinya saja. Tapi apa yang paling saya ingat dari mulut Roslan sendiri adalah, rumahnya mempunyai puluhan ekor kucing dan dia pernah kerja sebagai buruh kasar.

Motosikal sebagai kuda

Penghujung tahun 2013, setengah jam sebelum saya menghenjut tuil penghidup motorsikal untuk pulang ke KL dari Pahang, pecah berita mengenai Siti Aishah yang menjadi hamba di London. Kemudian Hishamuddin Rais bercerita bahawa dia kenal wanita itu. Bulan Disember, penghujung tahun 2015, ketika motosikal saya tersenggut-senggut mendaki Lebuhraya Karak, cerita Siti Aishah bermain dalam fikiran, begitu kuat. Sepanjang perjalanan saya berhenti beberapa kali untuk merokok, menyejukkan enjin motosikal cabuk itu dan membayang-bayangkan satu cerita lengkap berilhamkan kisah Siti Aishah dan Hishamuddin Rais. Sampai di rumah, seperti dirasuk Ifrit, saya mula menulis, dan setiap hari siap satu bab sebanyak 2000 patah perkataan, selama sebulan. 30 bab selesai lalu dihantar ke penerbit. Pada pertengahan 2016, novel pertama saya terbit. Kini, ia sebuah novel yang saya mahu lupakan, semua, semuanya. Tapi ingatan terhadap proses dan jerih payah sepanjang menyiapkannya kekal menghangat.

Salib Clariessa cukup sajak

Saya berterus terang saja, saya sudah siapkan kata pengantar pendek untuk buku Clariessa yang akan saya terbitkan kelak. Mudah-mudahan ia terjadi. Dari kata pengantar itu saya sering terfikir, patutnya ia dikembangkan menjadi satu esei yang mengungkapkan kepenyairan Clariessa dengan lebih jelas. Selalu saya katakan, di Malaysia tak ada, – atau mungkin ada tapi cukup sedikit – penulis yang mampu menulis puisi Kristian dengan kemas dan dekat dengan latar tempatan. Karim kata ‘Ain. Tak. Saya bau Amerika dari puisinya. Kawan saya Fariq berkata, rahsia puisi Indonesia adalah Bible. Saya mendapatkan Alkitab dari Sarawak, tentu saja melalui Clariessa. Betullah, betapa puitis kitab itu hingga mengilhamkan kepada saya sejumlah sajak.

Wawancanda bersama tokan

Beberapa tahun hidup serumah dengan tokan, telah memberikan sejumlah pengalaman yang cukup berharga; sebagai pengajaran dan kenangan semata. Di satu kawasan rumah pangsa yang kumuh dan sendat, saya mengenal apa itu persahabatan, yang putih dalam hitam dan batas yang tak boleh dilangkahi. Saya ingin mengenang kenalan-kenalan yang telah pergi, kaca dan batu yang merosakkan kepala masyarakat dan tatanan pergaulan yang rencam dan rumit. Tak salah kalau kamu kata dadah musuh negara.

Kenapa kita ingat, kenapa kita lupa? Mungkin kita tak lupa sepenuhnya, Cuma ingatan itu terenap dek bermacam perubahan sekitar. Kalau ada sesuatu berkaitan ingatan yang telah saya lupakan itu muncul di depan, perkara silam akan kembali terpacu. Yang pasti, masih ada trauma silam yang kekal menghantui, ada penyesalan yang masih melukai dan cinta yang masih memedihkan. Semuanya segar dalam kepala ini. Sesekali saya akan menjerit dan terkejut tiba-tiba seperti direnjat elektrik. Sesekali saya mengigau dalam mimpi dan tidur ayam. Ingatan seperti mimpi-mimpi yang belum selesai. Adakah hanya tidur yang mampu menyudahkannya?

 


Pengarang :