Petugas menghiasi gereja sempena sambutan perayaan Hari Natal yang disambut pada 25 Disember setiap tahun
RENCANA WAWANCARA

Krismas dalam waspada, upacara agama patuhi SOP

Rata-rata penganut agama Kristian menghela nafas lega untuk menyambut perayaan Hari Natal pada 25 Disember tahun ini.

Sambutan berlangsung ketika negara sedang pulih daripada penularan Covid-19 selepas kejayaan program vaksinasi Kerajaan Negeri dan kerajaan persekutuan.

Paderi Frederick Joseph dan James Arasu berkongsi pengalaman gereja menempuh pandemik bersama wartawan AFIX REDZUAN.

Bagaimana upacara keagamaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini dan selepas kelonggaran Pelan Pemulihan Negara (PPN)?

Frederick Joseph: Kita tidak membenarkan upacara keagamaan semasa PKP tetapi saya sebagai paderi mengadakan upacara secara peribadi di gereja setiap hari.

Gereja hanya dibuka selepas PKP tamat dengan kapasiti 1/3 di dalam gereja yang boleh memuatkan 150 orang dan dalam dewan seramai 100 orang. Kira-kira 250 orang hadir secara fizikal untuk satu upacara keagamaan. Bagi sesiapa yang kurang selesa untuk datang, kita siar dalam talian secara langsung. Setiap upacara keagamaan yang dipersembahkan ada siaran dalam talian secara langsung.

Paderi Frederick Joseph

Untuk penganut Katolik, kehadiran pada Ahad diwajibkan. Dalam dua tahun ini, uskup memberi kelonggaran. Penganut enggan hadir boleh mengikuti upacara dalam talian. Ia masih berkuat kuasa sehingga tahun depan kerana warga emas dan kanak-kanak masih tidak selesa untuk hadir ke gereja.

Kita ambil langkah berjaga-jaga dengan membuka upacara hanya untuk penganut yang lengkap divaksin dua dos. Kalau tidak lengkap, kita tidak galakkan mereka untuk hadir secara fizikal.

Upacara keagamaan sempena Krismas tidak disambut dengan penganut tetapi kita dibenarkan membuka gereja hingga 10 malam untuk lawatan dan bersembahyang. Penganut perlu terus pulang selepas selesai.

James Arasu: Upacara sepanjang PKP dijalankan secara dalam talian menggunakan aplikasi Zoom. Bagaimanapun bagi ahli gereja daripada golongan berpendapatan rendah berdepan kekangan mengikuti upacara dalam talian. Justeru pihak gereja membantu memudahkan perkhidmatan internet untuk mereka.

Selepas kelonggaran, aktiviti dijalankan seperti biasa dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP). Aktiviti bersemuka lebih berkesan berbanding dalam talian.

Untuk sambutan Krismas pada 25 Disember, apakah SOP yang perlu dipatuhi dan apa perancangan untuk penganut yang tidak dapat ke gereja?

Frederick Joseph: SOP sama seperti setiap upacara keagamaan. Kena buat pendaftaran dalam talian terutama untuk upacara pada 25 Disember. Mereka diminta datang 30 minit awal sebelum upacara. Namun kita tidak galakkan mereka datang terlalu awal.

Kita tidak halang warga emas untuk hadir upacara jika mereka selesa. Semasa awal PKP penganut berusia 60 tahun ke atas tidak dibenarkan hadir tetapi selepas PKP fasa tiga mereka boleh datang asalkan lengkap divaksin

Kanak-kanak juga boleh hadir dengan kebenaran dan tanggungjawab ibu bapa sendiri. Tidak perlu buat ujian Covid-19 untuk sertai upacara keagamaan.

Sehingga sekarang sebarang aktiviti makan di gereja tidak dibenarkan. Kita hanya sediakan pek makanan. Kita juga tidak benarkan penganut buka pelitup muka dan jaga jarak satu meter sepanjang berada dalam gereja.

Paderi James Arasu

James Arasu: Sambutan Krismas di gereja kami dijalankan pada 23 Disember dengan mengikuti SOP seperti jumlah penganut yang akan dibenarkan adalah 50 orang sahaja dengan penjarakan fizikal.

Apa bantuan dan program kebajikan disediakan pihak gereja sepanjang pandemik?

Frederick Joseph: Kita bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO). Mereka beri pek makanan untuk 1,000 keluarga. Sukarelawan akan bungkus dan hantar sampai Banting, Pulau Carey dan Pulau Indah.

Kebanyakan penerima adalah warga Sri Lanka, Indonesia, India tidak kira Kristian atau tidak. Kita bantu tidak kira agama dan bangsa. Di dalam gereja kita ada jawatankuasa membantu orang miskin.

Kita buat kutipan khas untuk orang miskin. Hasil kutipan dimasukkan dalam akaun gereja dan sukarelawan beli barang makanan untuk orang miskin dan sakit.

Bantuan kewangan juga ada untuk mereka yang sakit di hospital serta kehilangan kerja. Sekarang ramai yang menghadapi masalah membayar bil utiliti dan sewa rumah. Kita ada duit untuk dihulur dan semak setiap kes.

Kalau mereka datang terus minta bantuan untuk makan, kita berikan RM20 hingga RM50. Untuk bil uitiliti atau sewa rumah, kita akan bayar penuh jika pihak gereja mampu.

Kita tidak galakkan pemberian terus kepada individu yang minta tetapi jika kes seperti sewa rumah, kita hantar kakitangan untuk bayar terus kepada pemilik. Bantuan makanan kita beri terus.

Ada juga kes terperangkap dengan ahlong. Kita tengok dan berbincang dengan ahlong untuk bantu bayar bagi tempoh satu atau dua bulan.

James Arasu: Kami membantu ahli gereja dan golongan kurang bermampuan dengan menyalurkan barang dapur, alat perubatan, kit ujian Covid-19 dan juga menolong kanak-kanak dengan pembelajaran di atas talian.

Pandangan mengenai kempen bendera putih? Adakah gereja sedar mengenai kempen berkenaan?

Frederick Joseph: Kita pernah dengar kempen itu dan ada sukarelawan gereja mengambil bahagian secara persendirian. Sebagai paderi, saya menyokong penuh. Penganut kita turut menyumbang makanan asas. Bekalan bantuan makanan kita cukup sehingga bulan Januari 2022.

Kita juga beri bantuan barangan bayi seperti lampin pakai buang dan susu. Untuk golongan uzur, kita juga beri bantuan lampin pakai buang dan wang pengangkutan awam untuk mereka mendapatkan rawatan.

James Arasu: Kempen bendera putih untuk sementara waktu sahaja. Namun, ia membantu kelompok yang memerlukan dan pada masa sama ramai juga yang mengambil kesempatan. Gereja kami bekerjasama dengan NGO lain seperti HOPE SELANGOR yang sentiasa berusaha membantu golongan kurang mampu.

Kami adalah gereja bebas dan tidak menerima sebarang subsidi. Bagaimanapun, kami berjaya mengumpul wang derma dalam kalangan ahli untuk membantu mangsa Covid-19 di Tiruchi, India ketika bilangan kes meningkat secara mendadak di negara itu.

Dalam tempoh pandemik, ada individu bukan Kristian tampil meminta barang keperluan daripada gereja? Bagaimana mereka dibantu?

Frederick Joseph: Ada orang Islam yang datang terus untuk minta bantuan. Mereka datang minta wang untuk makan atau tiket tambang dan kita bantu. Kita hadkan tidak lebih RM100.

Peti tunai gereja ada RM500 setiap masa untuk membantu mana-mana pihak yang datang terus mohon bantuan. Biasanya pada Ahad atau akhir bulan banyak kes meminta pertolongan secara datang terus ke gereja.

James Arasu: Kami membantu semua golongan masayarakat tanpa mengira kaum, bangsa dan negara. Kami juga membantu golongan migran dan pelarian. Kebanyakan orang yang mendapat bantuan adalah yang bukan beragama Kristian.

Apakah kaedah gereja untuk memudahkan pelajar mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR)?

Frederick Joseph: Gereja ada bantuan pemberian komputer riba dan penerima perlu membayar RM20 sebulan selama dua tahun sebagai sewa bagi kurangkan beban.

Bayaran itu supaya penerima lebih tanggungjawab dan menghargai pemberian berkenaan. Kita tidak beri tuisyen percuma kerana tidak boleh adakan kelas secara fizikal.

James Arasu: Kami memberi pendidikan percuma kepada pelajar yang tercicir daripada PdPR, semasa PKP. Mereka diberikan kerja rumah melalui buku dan buku itu disemak. Setiap pelajar juga dihubungi melalui telefon. Mereka juga diberikan tambah nilai internet dengan pengawasan yang terperinci supaya ia digunakan dengan cermat.

Apa inisiatif gereja untuk mengurangkan tekanan individu yang datang berkongsi masalah?

Frederick Joseph: Ada individu berdepan masalah emosi semasa pandemik tampil mendapatkan nasihat daripada gereja. Kita beri nasihat dan mendengar luahan mereka selain memberi sokongan.
Kebanyakan mempunyai masalah kewangan dan keluarga. Biasanya mereka tidak dapat atasi masalah dan bercerita dengan kita untuk mencari penyelesaian.

Gereja mempunyai jawatankuasa untuk kesihatan mental. Mereka beri kaunseling kerana kita dapati semasa PKP terdapat banyak masalah rumah tangga. Dalam masalah itu, anak-anak paling terkesan terutama golongan belia.

Ada juga berkecenderungan untuk membunuh diri. Kebanyakannya memberitahu ingin membunuh diri tapi membatalkan niat selepas berbual. Mereka tidak menceritakan niat itu tetapi nampak ada kecenderungan untuk berbuat demikian. Sesi perbualan memberikan kelegaan kepada individu untuk meluahkan perasaan dan akhirnya mereka batalkan hasrat selepas mendapat sokongan.

James Arasu: Sebagai paderi, saya sering menghubungi ahli gereja. Jika mereka memerlukan kaunseling, saya cuba bercakap melalui telefon. Jika mereka memerlukan perhatian yang lebih, ahli gereja yang lebih kanan akan melawat mereka dan berbincang tentang masalah yang dihadapi.

Apakah pandangan dan usaha untuk menggalakkan dialog antara agama?

Frederick Joseph: Kita terbuka untuk sebarang dialog. Kita berwaspada terhadap isu yang kontroversi seperti kehadiran Muslim meminta bantuan. Kebanyakan Muslim yang datang kita galakkan ambil bantuan sahaja dan tidak berbincang mengenai agama.

Kita tidak campur aduk perihal agama dengan bantuan. Kalau mereka mahu bantuan yang kekal mungkin kita akan maklumkan kepada pusat zakat tetapi untuk kes datang terus ke gereja kita tidak maklumkan.
Dalam keuskupan agung, kita biasa ada dialog dua atau tiga kali setahun dan ada perjumpaan semasa Hari Kebangsaan.

Biasanya kita bercakap perihal persamaan agama sebagai kawan atau jiran tanpa sentuh isu sensitif bagi menghormati agama lain. Semua agama mengajar kita untuk menjadi manusia yang baik. Itulah dasar kita berbual.

James Arasu: Amat dialu-alukan supaya kita dapat memahami satu sama lain. Apalagi kita dalam situasi sekarang yang terkesan akibat pandemik. Dengan slogan kita jaga kita, hidup bermuafakat adalah sangat penting. Sayangi jiran anda seperti mana anda menyayangi diri.

 


Pengarang :