Dato’ Teng Chang Khim menjawab soalan dalam sidang Dewan Negeri Selangor pada 6 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Unisel bakal jadi pusat latihan, pembuatan dron

SHAH ALAM, 6 DIS : Kerajaan Negeri bercadang menubuhkan Pusat Kecemerlangan Dron Selangor (CoE) di Universiti Selangor (Unisel) kampus Bestari Jaya.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim berkata CoE menyediakan kemudahan seperti makmal pembangunan dan penyelidikan teknologi, pembuatan, penyediaan latihan serta pusat uji kaji.

Menurutnya, antara pemain industri yang mahu bekerjasama adalah syarikat Aerodyne Group dan Pen Aviation Sdn Bhd yang merupakan perunding penerbangan selain pakar dalam bidang terbabit.

“Kerajaan Selangor juga bakal bekerjasama dengan badan regulasi untuk menentukan laluan dron yang berpotensi dijadikan laluan selamat bagi penghantaran barangan termasuk membangunkan pelabuhan dron.

“Penyediaan insentif bagi menggalakkan pembangunan dan penggunaan dron akan turut dibincangkan bersama pihak berkaitan agar ia dapat diselaraskan,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Banting Lau Weng San mengenai potensi menarik pelaburan berteknologi tinggi seperti pembuatan kereta terbang, dron dan teknologi pemantauan pada Sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Chang Khim menjelaskan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI turut menubuhkan Selangor Aviation Technology and Innovation Sdn Bhd (SELATI) bagi memastikan kelancaran pembangunan CoE.

“Penubuhan SELATI sejajar dengan perkembangan semasa aeroangkasa dan ia bukan sahaja terlibat dalam CoE tetapi turut melihat peluang pelaburan lain seperti aktiviti pembuatan dan pembangunan kawasan industri aeroangkasa,” katanya.


Pengarang :