Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri menyampaikan Bantuan Selangor Bangkit kepada Rahimah Mad Din di Dewan Orang Ramai, Kampung Teluk Nipah, Pulau Indah pada 12 Januari 2022. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Bantuan Selangor Bangkit tampung beli barang rosak akibat banjir

KLANG, 12 JAN: Rata-rata mangsa banjir di sini bersyukur menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) berjumlah RM1,000 dan menganggap dapat membantu bagi membeli barang keperluan rumah yang baharu.

Rahimah Mad Din, 60, berkata beliau merancang untuk membeli almari dan peti ais yang rosak akibat bencana itu pada Disember tahun lalu.

“Terima kasih Kerajaan Selangor atas bantuan yang sedikit sebanyak membantu memudahkan urusan mangsa banjir,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau antara 1,500 penerima BSB untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang disampaikan Ahli Dewan Negerinya Azmizam Zamanhuri di Dewan Orang Ramai, Kampung Teluk Nipah, Pulau Indah di sini hari ini.

Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang Azmizam Zamanhuri menyampaikan Bantuan Selangor Bangkit kepada Zahari @ Zakaria Mahmod di Dewan Orang Ramai, Kampung Teluk Nipah, Pulau Indah pada 12 Januari 2022. Foto: SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI

Warga emas, Zahari @ Zakaria Mahmod, 74, yang menetap di Kampung Teluk Nipah di sini turut meluahkan kegembiraan menerima bantuan tunai hari ini.

“Alhamdulillah, bantuan ini mungkin tidak dapat menggantikan semua kerosakan dialami tetapi ia meringankan beban kami sekeluarga untuk meneruskan kehidupan selepas banjir.

“Insya-Allah kami rancang untuk membeli mesin basuh kerana yang sedia ada sekarang sudah rosak,” katanya.

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah pada 18 Disember.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Bantuan diagih mulai 28 Disember lalu dan dijangka selesai hujung Januari ini.


Pengarang :