Jurusuntik memberi dos penggalak kepada peserta Vaksin Selangor (Selvax) Booster di Klinik Selcare, Seksyen 13, Shah Alam pada 10 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Covid-19: 3,381 kes baharu, hampir 99 peratus tiada gejala, gejala ringan

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Hampir 99 peratus iaitu 98.9 peratus atau 3,344 kes daripada jumlah keseluruhan 3,381 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan hari ini adalah dalam kategori satu dan dua, demikian menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau dalam kenyataan berkata daripada kes COVID-19 yang dilaporkan hari ini hanya 37 kes iaitu 1.1 peratus dalam kategori tiga, empat dan lima.

“Sebanyak 319 kes merupakan kes import melibatkan 284 warganegara dan 35 bukan warganegara. Kes sembuh yang dilaporkan hari ini ialah 3,447 kes,” katanya.

Ini merupakan hari keempat berturut-turut kes baharu COVID-19 mencatatkan peningkatan selepas ia menurun di bawah 3,000 kes pada Isnin.

Menurutnya sebanyak enam kluster baharu dikenal pasti Kementerian Kesihatan (KKM)  hari ini manakala kadar kebolehjangkitan seluruh negara adalah 0.96.

Dr Noor Hisham berkata maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan COVID-19 dalam negara akan dimuat naik ke laman web COVIDNOW di https: //covidnow.moh.gov.my dan data akan dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.

Mengenai situasi semasa bencana banjir, beliau berkata sebanyak 56 kes penyakit berjangkit yang dikesan dalam kalangan mangsa banjir pada hari ini.

Daripada jumlah itu, 33 kes merupakan jangkitan saluran pernafasan akut (ARI), penyakit kulit (sembilan) dan acute gastroenteritis (AGE) (14).

Kata Dr Noor Hisham setakat 3 petang hari ini tiada kes baharu COVID-19 yang dikesan dalam kalangan mangsa banjir dan ini menjadikan jumlah kes positif dalam kalangan mangsa banjir kekal 465  kes.

— BERNAMA

 

 


Pengarang :