Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat mangsa banjir di Kampung Cemperai, Dengkil pada 28 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: 908 rumah dikenal pasti untuk baik pulih, bina baharu

SHAH ALAM, 7 JAN: Sebanyak 908 unit rumah dikenal pasti perlu dibaik pulih dan dibina baharu akibat banjir setakat 4 Januari lalu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata daripada jumlah keseluruhan itu, 876 perlu dibaik pulih manakala 32 unit perlu dibina baharu.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam mempertanggungjawabkan EXCO Perumahan Rodziah Ismail untuk melihat keseluruhan keadaan rumah, apakah jenis bantuan yang boleh disampaikan.

“Mungkin ada pengumuman Kerajaan persekutuan yang kita akan padankan dengan keperluan mangsa banjir yang terjejas kediaman disamping bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS),” katanya.

Beliau berkata pada sidang media khas situasi banjir di bilik mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Amirudin berkata, rumah yang dibaik pulih terdiri pelbagai kategori dan EXCO perumahan akan membuat penyelarasan setiap rumah yang terjejas.

“YB (yang berhormat) Rodziah akan menilai dalam tempoh seminggu, selepas itu beliau atau Kerajaan Negeri akan umumkan bentuk bantuan bagi rumah yang hilang, roboh dan baik pulih terkesan akibat banjir,” katanya.

Keadaan rumah yang terjejas akibat banjir ketika tinjauan di Kampung Sungai Lui, Hulu Langat pada 21 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :