Situasi di lokasi wanita bersalin di dalam kereta berhampiran kuil Sri Subramaniar Temple Batu Caves pagi tadi. Foto Facebook LK Savantharaja
AGENDANASIONAL

Ibu bersalin dekat kuil Batu Caves terharu dibantu peserta Thaipusam

SHAH ALAM, 22 JAN: Seorang ibu yang melahirkan bayi di dalam kereta berhampiran Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves ketika Thaipusam berterima kasih kepada peserta perayaan tersebut.

Lidawati Zakaria, 39, berkata beliau akan mengenang budi baik Marie Puspan dan anaknya, Naroshini Annaselam yang menyambut kelahiran bayi perempuannya dalam kejadian Selasa lalu, lapor FMT.

“Saya terharu… ramai yang tolong. Saya terkejut sebab mereka sanggup tanggalkan kain walaupun ia untuk perayaan mereka? Lagi pun ada darah kan? Tapi mereka masih (tolong) tutup aurat saya,” katanya.

Wanita dari Meru, Klang itu berkata sampai sekarang beliau masih menyimpan kain (vesthi) tersebut.

Menceritakan kembali detik kelahiran anak kelimanya, Lidawati berkata beliau dan suami dalam perjalanan ke hospital di Gombak selepas ‘turun tanda’ namun tersangkut dalam kesesakan lalu lintas berhampiran kuil tersebut.

Katanya, ketika itu Marie, Naroshini dan beberapa peserta Thaipusam lain datang membantu bagi memastikan beliau melahirkan anaknya tanpa apa-apa komplikasi.

“Ketika itu, ada mak cik (Marie) dan kakak (Naroshini) ketuk pintu dan bertanya adakah saya ‘okay’. Saya cakap saya melahirkan bayi. Mereka suruh saya buka pintu kereta. Saya kata tak apa sebab tak mahu ganggu perayaan mereka.

“Tapi mereka suruh saya buka pintu dan mereka tolong sambut bayi saya. Saya terharu sebab mereka buka kain sari dan tolong tutup keadaan saya. Kain sari mereka habis kotor kena darah saya,” katanya.

Selasa lalu, seorang wartawan akhbar Tamil menarik perhatian pengguna media sosial kerana sifat prihatin beliau membantu wanita bersalin di dalam kereta berhampiran kuil Batu Caves.

LK Savantharaja memberitahu ketika kejadian beliau ke kuil itu untuk menghadiri upacara Thaipusam sebelum ternampak wanita sedang menahan sakit menjerit meminta tolong.

“Saya dan beberapa pengunjung lain terus tutup tingkap kereta dengan kain (vesthi). Masa bayi selamat dilahirkan, saya bagitau ‘Kakak you and your baby are blessed, rasa gembira dia selamat lahirkan bayi perempuan,” katanya.


Pengarang :