Selangorkini
Jurusuntik memasukkan vaksin dalam picagari untuk diberikan kepada peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Booster di Klinik Selcare, Seksyen 13, Shah Alam pada 10 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADN SELANGOR

Klinik Selcare USJ 1 sedia dos penggalak untuk penduduk Subang Jaya

SUBANG JAYA, 13 JAN: Ahli dewan negeri Subang Jaya menyeru penduduk di kawasan terbabit yang mahu vaksin dos penggalak boleh dapatkannya di Klinik Selcare USJ 1.

Michelle Ng Mei Sze berkata mereka bagaimanapun dikehendaki mendaftar terlebih dahulu menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan menunggu janji temu.

“Buat masa ini DUN Subang Jaya tidak bercadang untuk menganjurkan program Vaksin Selangor (Selvax) Booster kerana di sini sudah ada Klinik Selcare, mereka boleh dapatkan terus di situ.

“Selain itu, apabila anjurkan program kita bimbang kerana tidak ramai orang akan hadir. Jika ada yang mmeohon di pejabat kita akan minta mereka ke Klinik Selcare USJ1 sahaja,” katanya.

Pada 7 Disember lalu, Amirudin mengumumkan sebanyak 157,000 dos penggalak akan diberikan secara percuma menerusi program itu mulai 8 Disember.

Menurutnya, individu berusia 18 tahun ke atas yang lengkap dua dos vaksin boleh mendapatkannya di Klinik Selcare berdekatan.

Senarai klinik yang terlibat boleh didapati di laman sesawang https://selcareclinic.com/our-clinics/ atau melalui aplikasi SELangkah.


Pengarang :