EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han meninjau tapak kosong di kawasan BK 8 Bandar Kinrara yang dijadikan tempat pembuangan sampah haram pada 18 Januari 2022. Foto tangkap layar video Facebook Ng Sze Han
EXCOSELANGOR

Laluan BK 8 Bandar Kinrara ditutup, elak aktiviti pembuangan sampah haram

SHAH ALAM, 19 JAN: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengambil tindakan segera dengan membuka kembali saluran longkang dan menutup laluan di kawasan BK 8 Bandar Kinrara susulan berlaku aktiviti pembuangan sampah di kawasan itu, semalam.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata beliau menerima pelbagai aduan khususnya penduduk sejak minggu lalu dan notis untuk mengosongkan tanah terbabit sudah pun dikeluarkan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian.

“Walaubagaimanapun, aktiviti pembuangan sampah haram iaitu sisa pembinaan terus berlaku sejak beberapa hari lepas. Terdapat juga penempatan haram pekerja binaan di kawasan ini.

“Pihak MBSJ telah membawa jentera pengorek untuk membuka kembali saluran longkang yang ditutup dan seterusnya menghalang akses lori-lori dan kenderaan berat daripada memasuki kawasan ini,” katanya di Facebook.

Sze Han berkata mesyuarat susulan bersama Kementerian Pendidikan Malaysia juga akan dibuat untuk mengatasi masalah itu berikutan tapak itu adalah milik kementerian berkenaan.

“Terima kasih kepada penduduk yang cakna dan ambil berat tentang isu pembuangan sampah haram.

“Kerajaan Negeri Selangor memandang berat isu ini dan tindakan tegas akan diambil ke atas pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sampah haram,” katanya.


Pengarang :