Selangorkini
Mangsa banjir memilih pakaian percuma ajuran Lead Up Malaysia di Kuil Sri Maha Mariamman, Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 8 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSI SELANGOR

Lima tan baju dikumpul, sedia diagih kepada mangsa banjir

SHAH ALAM, 8 JAN: Program Bazaar Pakaian Percuma di Kuil Sri Maha Mariamman, Taman Sri Muda di sini menyediakan lima tan baju untuk mangsa terjejas banjir.

Pengasas Lead UP Malaysia Sangheta Jeyakumar berkata program dijangka memberi manfaat kepada lebih 3,000 individu termasuk penduduk luar dari Taman Sri Muda.

“Kita jangka lebih 3,000 individu dapat dibantu menerusi program ini sekali gus meringankan beban mangsa banjir.

“Mereka yang datang bukan sahaja di Sri Muda tetapi ada juga dari Bukit Lanchong dan Sentosa,” katanya ketika ditemui.

Menurut Sangheta selain pakaian, barangan keperluan lain seperti cadar, langsir, lampin bayi dan dewasa serta pinggan mangkuk hasil sumbangan orang ramai juga ada disediakan.

“Program ini melibatkan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan banyak barangan keperluan disumbangkan kepada mereka dikumpulkan di sini.

“Ini merupakan siri kedua dan dianjurkan kerana di pusat pemindahan sementara mereka hanya ambil untuk kegunaan semasa sedangkan mereka memerlukannya untuk hari mendatang,”katanya.

Bazaar Pakaian Percuma diadakan selama dua hari sehingga esok di Kuil Sri Maha Mariamman, Taman Sri Muda menyediakan pelbagai pakaian untuk wanita, lelaki dan kanak-kanak.

Individu yang memerlukan boleh hadir esok bermula 9 pagi hingga 3 petang.


Pengarang :