Kerja-kerja pembersihan pascabanjir oleh Jabatan Landskap MBSA menggunakan jentera dan lori Roro di Kampung Kebun Bunga, Seksyen 22 pada 24 Disember 2021. Foto Facebook Majlis Bandaraya Shah Alam
PBT SELANGOR

MBSA kutip 2,630 tan metrik sisa banjir di Klang, Petaling hari ini

SHAH ALAM, 1 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berjaya mengutip 2,630 tan metrik sampah dalam proses pembersihan pascabanjir hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook memaklumkan 2,256 tan metrik sampah dikutip di Klang manakala 374 tan metrik di Petaling.

“Bagi daerah Petaling kerja pembersihan di tujuh lokaliti banjir selesai sepenuhnya iaitu di Seksyen 13, Seksyen 19, Seksyen 22 (Kampung Kebun Bunga), Seksyen 23, Seksyen 28 (Kampung Lanchong Jaya), Seksyen U1 (Taman Mesra) dan Seksyen U3 (Desa Subang Perantau).

“Manakala bagi daerah Klang pula kerja pembersihan di tiga lokaliti banjir juga selesai sepenuhnya iaitu di Seksyen 32, Seksyen 33 (Alam Indah) dan Seksyen 35 (Taman Desa Kemuning),” katanya.

KDEB Waste Management (KDEBWM) menggunakan lori roro (roll on roll off) bagi melancarkan kerja pembersihan pascabanjir di kawasan sekitar Taman Sri Muda, Shah Alam pada 31 Disember 2021. Foto Facebook KDEBWM

Tambah Amirudin, Sri Muda mencatatkan pengeluaran sampah sebanyak 2,148 tan metrik hari ini berbanding 1,822 tan metrik semalam.

Sehingga Khamis lalu, kerja pembersihan bermula 25 Disember di situ mencapai kira-kira 35 hingga 40 peratus dan bakinya dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu lagi.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.


Pengarang :