Usaha menyelamat mangsa banjir dijalankan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 20 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Sidang khas Parlimen bahas isu banjir 20 Januari

KUALA LUMPUR, 6 JAN: Satu Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen Ke-14 bagi Dewan Rakyat akan diadakan pada 20 Jan ini, untuk memberi ruang kepada kerajaan menjelaskan kepada rakyat mengenai tindakan dan perancangan kerajaan menangani isu-isu banjir.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sesi khas itu merupakan platform terbaik untuk ahli-ahli Parlimen mendapat maklum balas tentang isu banjir.

“Mesyuarat Khas ini diadakan selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(3), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Ia bagi membincangkan perkara berkaitan kepentingan negara iaitu banjir dan pasca banjir, penyelarasan bantuan kepada Keluarga Malaysia dan perancangan jangka panjang pengurusan bencana banjir,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata pelaksanaan Mesyuarat Khas ini juga telah disembah maklum dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

— BERNAMA

 


Pengarang :