Selangorkini
Sebuah syarikat didapati menjalankan aktiviti membina serta mengitar sisa pepejal plastik terpakai tanpa kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor yang dikesan pada 11 Ogos 2021. Foto JAS Selangor
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Syarikat kitar sisa pepejal plastik tanpa kebenaran JAS didenda RM60,000

SHAH ALAM, 21 JAN: Sebuah syarikat didenda RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen Klang hari ini, selepas didapati menjalankan aktiviti membina serta mengitar sisa pepejal plastik terpakai tanpa kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.

Pengarah JAS Selangor Nor Aziah Jaafar berkata syarikat itu didakwa menjalankan aktiviti tanpa mengemukakan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) yang diluluskan.

“Syarikat itu juga gagal mengemukakan pemberitahuan bertulis kepada JAS mengenai pemasangan peralatan yang menjadi punca pengeluaran pencemar udara.

“Hakim Razali Ariffin menjatuhkan hukuman itu selepas pengarah syarikat berkenaan mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan kepadanya,” katanya menerusi kenyataan.

Nor Aziah berkata syarikat itu dituduh melakukan dua kesalahan pada 11 Ogos 2020 di sebuah premis di Taman Perindustrian Pulau Indah, Pelabuhan Klang.

“Syarikat itu dituduh mengikut Seksyen 34A(2) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan 5(1)(b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 akta yang sama,” katanya.

Katanya, membina dan menjalankan aktiviti mengitar sisa pepejal plastik termasuk dalam Jadual Pertama Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti yang ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015 di mana laporan EIA perlu dikemukakan dan diluluskan terlebih dulu oleh JAS.

“Terima kasih kepada orang awam yang membantu memberi maklumat mengenai aktiviti yang mencemarkan alam sekitar.

“Laporan mengenai aktiviti pencemaran alam sekitar boleh terus dibuat di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau emel ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my ,” katanya.


Pengarang :