Anggota penguat kuasa MPS mengeluarkan kompaun terhadap pemilik sebuah syarikat percetakan di Taman Sunway, Batu Caves, Gombak kerana melanggar syarat lesen dalam operasi pada 14 Februari 2022. Foto Facebook MPS
PBTSELANGOR

Baiki kenderaan berat secara haram, MPS tarik lesen syarikat cetak

SHAH ALAM, 16 FEB: Pemilik sebuah syarikat percetakan di Taman Sunway Batu Caves dikompaun RM1,500 kelmarin oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) kerana melanggar syarat lesen.

Lesen perniagaan turut ditarik semula berikutan menjalankan aktiviti pembaikan kenderaan berat secara haram di lorong belakang premis, kata pengarah Jabatan Korporatnya.

“MPS turut mengenakan kompaun sama dan menarik lesen pemilik bengkel di sekitar kawasan tersebut kerana meletakkan kenderaan berat yang dibaiki di bahu jalan.

“(Tindakan) ini menimbulkan kekotoran, halangan dan kacau ganggu kepada penduduk sekitar,” kata
Mohamad Zin Masoad dalam kenyataan di Facebook.

Tindakan mengikut Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan Seksyen 3 UUK Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPS) 2007.

Dalam pada itu, Mohamad Zin berkata pihaknya mengeluarkan saman mengikut UUK Taman Seksyen 7(1) kepada pemilik lori muatan berat kerana meletakkan kenderaan di kawasan kediaman.

Beliau turut mengingatkan pemilik perniagaan supaya mematuhi syarat lesen bagi mengelak tindakan.


Pengarang :