Situasi dan reaksi penonton ketika Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 19 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL SUKANKINI

BATC 2022: Agong, Raja Permaisuri ucap tahniah kepada skuad lelaki kebangsaan

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan tahniah kepada skuad badminton lelaki kebangsaan atas kejayaan menjuarai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022, semalam.

Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara hari ini, Seri Paduka berdua turut menzahirkan sukacita dan bangga atas pencapaian cemerlang itu kerana pasukan badminton negara mencipta sejarah selepas muncul juara kejohanan itu buat kali pertama dengan menewaskan juara bertahan Indonesia 3-0.

“Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan harapan agar kejayaan ini menjadi suntikan semangat kepada pasukan badminton kebangsaan untuk terus berlatih lebih keras dan melakar kejayaan di kejohanan-kejohanan mendatang serta mengharumkan nama negara di persada dunia,” demikian menurut catatan itu.

Semalam, skuad lelaki negara mencipta sejarah selepas muncul juara BATC buat kali pertama dengan menewaskan Indonesia, sekali gus menyekat hasrat musuh tradisi tersebut daripada menjuarai gelaran buat kali keempat berturut-turut pada kejohanan yang bermula sejak 2016 itu.

Kejohanan dwitahunan itu juga adalah pentas kelayakan bagi saingan Piala Thomas dan Uber, dengan empat pasukan terbaik layak ke acara berpasukan berkenaan yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand pada Mei depan.

-BERNAMA


Pengarang :