EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han (dua dari kanan) menyampaikan replika kunci 3R Smart Cage kepada penerima dari Sekolah Kebangsaan Bukit Kapar sempena majlis Anugerah Klang Sejahtera 2021 di Dewan Hamzah, Klang pada 21 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Kerajaan Selangor guna data satelit kesan lokasi tapak sampah haram

KLANG, 21 FEB: Kerajaan Selangor akan menggunakan data satelit daripada Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) bagi mengesan lokasi tapak pembuangan sampah haram di negeri ini.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata kerjasama itu adalah hasil beberapa perbincangan antara Kerajaan Negeri, MYSA dan pihak berkuasa tempatan (PBT) minggu lalu.

“Berdasarkan data awal, kira-kira 1,400 lokasi pembuangan sampah haram dikesan di seluruh Selangor, namun tidak dapat disahkan lagi. PBT berkaitan diarahkan untuk meningkatkan memantau supaya tindakan lanjut dapat diambil.

“Kerjasama antara MYSA ini tidak membabitkan kos dan bukan terhad kepada usaha mengesan tapak pembuangan sampah haram tetapi memantau pelbagai aktiviti lain,” katanya selepas merasmikan Majlis Penghargaan Klang Sejahtera Ke Arah Pembangunan Mampan 2020/2021 di Dewan Hamzah Majlis Perbandaran Klang (MPK) hari ini.

Dalam pada itu, Sze Han berkata isu pembuangan sampah haram akan tetap berlarutan sekiranya masyarakat khususnya penduduk, pengusaha kilang dan tapak pembinaan tidak berubah sikap.

“Kebanyakan sampah yang dibuang di tapak pembuangan haram adalah hasil industri pembinaan dan institusi. Pembuangan sampah domestik diuruskan dengan baik.

“Buat masa ini, di Selangor ada enam pusat tapak penguatkuasaan sisa lengai manakala tiga tapak pelupusan sisa domestik iaitu di Jeram, Tanjung 12 dan Hulu Selangor yang diuruskan Worldwide Holdings Berhad,” katanya.

Majlis Penghargaan Klang Sejahtera Ke Arah Pembangunan Mampan adalah majlis untuk menghargai usaha berterusan komuniti Klang di dalam menyokong matlamat pembangunan mampan bagi mewujudkan persekitaran sejahtera dan berkualiti.

Antara kempen dijalankan ialah membudayakan kitar semula, pertandingan kebersihan dan keceriaan taman perumahan, kebersihan tandas dan juga program rendah karbon.

 


Pengarang :