Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan baucar Jom Shopping kepada peserta sempena perayaan Tahun Baharu Cina di Pusat Khidmat Rakyat DUN Sungai Tua, Gombak pada 23 Januari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MB ajak rakyat sambut Tahun Baharu Cina secara maya malam ini

SHAH ALAM, 1 FEB: Rakyat berbilang bangsa di Selangor dijemput menyertai sambutan Tahun Baharu Cina peingkat negeri secara maya malam ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sambutan pada hari pertama perayaan akan bermula pada jam 9 malam.

“Saya menjemput anda semua untuk sama-sama menyertai sambutan ini selepas menikmati juadah bersama keluarga masing-masing,” katanya dalam perutusan semalam.

Beliau turut memberi suntikan semangat kepada rakyat untuk terus cekal mengharungi kehidupan pasca Covid-19.

“Saya mengharapkan yang terbaik untuk semua agar dalam keadaan wabak yang masih menghasilkan varian baharu, kita terus cekal, tidak putus asa dan terus bekerja bagi meneruskan kehidupan.

“Dengan doa dan harapan tersebut, saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua,” katanya.

Sambutan tersebut diteruskan secara dalam talian selepas dilaksanakan tahun lalu susulan penularan Covid-19 yang belum reda.

Program selama sejam boleh ditonton melalui Facebook Amirudin iaitu @ami.mbselangor dan Pengerusi Jawatankuasa Khas Agama Buddha dan Tao Selangor Dato’ Teng Chang Khim.

Siaran itu menampilkan 55 artis tempatan yang membuat persembahan antaranya nyanyian, gendang Cina, tarian singa serta ucapan ringkas daripada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Orang ramai juga berpeluang memenangi angpau bernilai RM10,000 dengan menyediakan ucapan kreatif dalam siaran berkenaan.


Pengarang :