Kakitangan KKM menanggalkan nota bekas pesakit kepada petugas barisan hadapan susulan penutupan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) ketika tinjauan pada 3 Februari 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Tamat tahun ini, kontrak 1,243 penolong pegawai perubatan dilanjut

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Kementerian Kesihatan (KKM) telah memperakukan pelanjutan kontrak petugas kesihatan yang akan tamat kontrak pada tahun ini.

Ketua Setiausaha KKM Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam pada 26 dan 28 Jan lepas bersetuju meluluskan pelantikan semula secara kontrak 1,243 Penolong Pegawai Perubatan Gred U29, melibatkan graduan Institut Latihan KKM yang tamat kontrak pada 2 Feb.

“Pemakluman mengenai pelanjutan kontrak ini telah pun dimaklumkan kepada Ketua Jabatan. Tawaran pelanjutan kontrak bagi kohort lain yang tamat kontrak dalam tahun 2022 akan dibuat secara berfasa sebaik perakuan KKM diluluskan oleh agensi pusat dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam,” katanya.

Mohd Shafiq berkata pelanjutan kontrak ini dibuat mengambil kira situasi negara dalam peralihan dari fasa pandemik ke fasa endemik dan usaha memulihkan perkhidmatan tertangguh akibat pandemik COVID-19.

Merujuk kepada artikel disiarkan sebuah akhbar semalam bertajuk “Giliran Penolong Pegawai Perubatan Mogok Esok?”, beliau berkata KKM menghargai peranan penting Penolong Pegawai Perubatan di KKM bersama barisan hadapan lain khususnya dalam menangani pandemik.

— BERNAMA

 


Pengarang :