AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

2,745 penolong amil fitrah dilantik mudahkan kutipan zakat fitrah

SHAH ALAM, 29 MAC: Lembaga Zakat Selangor (LZS) melantik 2,745 penolong amil fitrah bagi melaksanakan kutipan zakat fitrah pada Ramadan tahun ini.

Ketua divisyen operasi agihan asnaf LZS berkata mereka ditempatkan di hampir 500 masjid dan surau di seluruh negeri selain di beberapa pasar raya terpilih.

“Zakat Selangor amat menggalakan golongan yang berkemampuan menunaikan zakat mengikut harga beras yang dimakan setiap hari bagi diri dan tanggungang.

“Secara tidak langsung kita berpeluang untuk melakukan kebajikan dalam meraih keberkatan Ramadan,” kata Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

Beliau berkata demikian pada Program Agihan Perdana Bantuan Ramadan dan Syawal 2022 di Masjid Tengku Ampuan Jemaah di sini, hari ini.

Katanya, pembayaran zakat fitrah juga boleh dibuat di platform dalam talian yang disediakan iaitu melalui EZakatPay dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my; aplikasi Zakat Selangor; perbankan internet; MyEg dan Pos Online serta e-dompet GoPayz dan Boost.

Semalam, LZS menetapkan kadar zakat fitrah di negeri ini RM7 seorang, kekal seperti tahun sebelumnya.

Ketua divisyen kutipannya berkata penetapan itu berdasarkan harga bagi 2.6 kilogram beras Super Tempatan Gred A yang lazimnya digunakan penduduk Selangor.

Muhd Fikri Naim Harun berkata kadar zakat fitrah sebanyak RM14 seorang bagi individu yang memakan beras putih import/beras perang/beras pulut/herba ponni/beras wangi atau RM21 bagi individu yang memakan beras basmathi/beras jepun/beras merah.


Pengarang :