Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen Kuala Lumpur pada 1 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Anwar mahu penjelasan penuh dakwaan salah guna kuasa Bank Negara

SHAH ALAM, 1 MAC: Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta kerajaan persekutuan memberi penjelasan penuh isu dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam Bank Negara Malaysia (BNM) berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua pembangkang dalam sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini menegaskan tindakan tersebut perlu disegerakan berikutan pembongkaran kes itu pada peringkat antarabangsa.

“Kita mahu ada penjelasan menyeluruh sebab belum ada pengesahan daripada BNM, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.

“Proses siasatan sudah 10 tahun berlalu tapi belum ada laporan dan keterangan selain pendakwaan dalam aspek tertentu melibatkan bekas perdana menteri,” kata ahli parlimen Port Dickson itu.

Terdahulu, Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun membenarkan Anwar membahas keterangan bekas Pengerusi Goldman Sachs Asia Tenggara Tim Leissner di Mahkamah Amerika Syarikat dalam Kamar Khas.

Pada 28 Februari, Anwar mengemukakan usul bagi membincangkan dakwaan berkenaan.

Sebelum ini, Leissner dalam keterangannya memberitahu BNM membenarkan pemindahan keluar wang AS$1 bilion daripada 1MDB kepada PetroSaudi International (PSI).

Bagaimanapun, BNM pada Khamis menjelaskan semua pelaburan di luar negara oleh entiti pemastautin tertakluk bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang (AKPW) 1953.


Pengarang :