Beberapa pengunjung mendengar taklimat mengenai usahawan Hijrah Selangor pada Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 5 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Bantu modal niaga musim perayaan, Hijrah tawar pinjaman serendah RM1,000

SHAH ALAM, 5 MAC: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) menyasarkan kira-kira 10,000 usahawan di negeri ini memohon pinjaman skim i-Bermusim yang dibuka sejak 25 Februari lalu.

Eksekutif Promosinya Muhammad Ihsan Mohammad Rosdi Kamal berkata inisiatif sempena kedatangan Ramadan dan Syawal serta musim buah-buahan membolehkan usahawan mendapat modal antara RM1,000 hingga RM20,000

“Kita mahu bantu seramai mungkin usahawan kerana ramai dalam kalangan mereka dikesan terpaksa menggadai tanah atau aset untuk mendapatkan modal berniaga


Eksekutif Promosi Yayasan Hijrah Selangor Muhammad Ihsan Mohammad Rosli Kamal. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Permohonan ini dibuka lebih panjang bukan sahaja sehingga akhir bazar Ramadan dan Syawal memandangkan selepas ini ada musim buah-buahan,” katanya.

Beliau ditemui selepas sesi perkongsian berkaitan perkhidmatan ditawarkan Hijrah sempena Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) di Pusat Konvensyen Shah Alam.

Sementara itu, menurut beliau lebih 100 usahawan memohon pembiayaan tersebut setakat ini dan ada dalam kalangan mereka sudah mendapat kelulusan.

“Permohonan bagi pinjaman bawah RM5,000 disemak oleh pejabat cawangan manakala ibu pejabat akan menilai (permohonan) lebih daripada jumlah itu.

“Sekarang ada beberapa permohonan telah diluluskan dan diharap skim ini dapat membantu usahawan untuk kembangkan perniagaan masing-masing seterusnya menjana pendapatan,” katanya lagi.

Permohonan boleh dibuat dengan menghubungi mana-mana pegawai pembiayaan Hijrah di cawangan berhampiran.

Pemohon diminta membawa dua keping gambar berukuran pasport, salinan kad pengenalan pemohon dan pasangan, salinan lesen SSM/PBT atau salinan perjanjian melibatkan aktiviti perniagaan, salinan penyata akaun bank atau muka depan buku akaun serta salinan bil utliti premis dan tempat tinggal


Pengarang :