Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa mengadakan program gunting rambut melibatkan 500 murid menjelang pembukaan sesi persekolahan pada 21 Mac 2022. Foto ihsan Dr G Gunaraj
ADNBERITA UTAMASELANGOR

DUN Sentosa anjur program gunting rambut percuma, manfaat 500 murid

SHAH ALAM, 14 MAC: Sempena pembukaan sesi persekolahan minggu depan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa mengadakan program gunting rambut melibatkan 500 pelajar sekolah.

Wakil rakyat Dr G Gunaraj berkata program yang dijalankan secara berperingkat sejak kelmarin menyasarkan penyertaan pelajar dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah dan kurang mampu.

“Inisiatif ini diharap dapat meringankan beban ibu bapa untuk mempersiapkan pelbagai keperluan sekolah anak-anak.

“Program yang diadakan kelmarin di Kampung Jawa membabitkan 50 pelajar manakala semalam di Masjid Al Barakah, Taman Sentosa seramai 70 pelajar. Program ini akan diadakan lagi pada Sabtu dan Ahad depan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata program berkenaan bukan hanya bermanfaat kepada pelajar sebaliknya turut membantu tukang gunting rambut menjana pendapatan.

“Dalam program ini libatkan empat tukang gunting. Ketika pandemik Covid-19 mereka begitu terkesan jadi sekarang kita mahu bantu mereka menstabilkan kehidupan.

“Untuk minggu depan, ibu bapa yang berminat boleh mendapatkan maklumat dari ketua kampung atau komuniti, ahli majlis selain hubungi pusat khidmat DUN,” katanya.


Pengarang :