Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat pada 28 Februari 2022. Foto BERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Isu BAM, wajibkan pelajar sekolah divaksin antara tumpuan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Isu melibatkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan cadangan mewajibkan vaksin Covid-19 kepada pelajar sekolah antara isu yang dijangka menjadi tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang Parlimen, pertanyaan berkaitan BAM itu diajukan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) kepada Menteri Belia dan Sukan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.

Beliau meminta menteri berkenaan menyatakan sebab-sebab BAM menghalang pemain bergerak secara profesional, termasuk melarang mereka daripada menyertai kejohanan antarabangsa dan langkah yang diambil untuk membetulkan tindakan itu.

Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) pula minta Menteri Kesihatan menyatakan sama ada kementerian itu bercadang untuk mewajibkan vaksinasi kepada pelajar berusia 18 tahun ke bawah terutama yang bersekolah di sekolah rendah dan menengah.

Pada sesi sama, Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) meminta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan sama ada jumlah aset dan anggota di Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Manis akan ditambah susulan kekerapan insiden bot karam, kes serangan buaya dan kebakaraan hutan di kawasan ini.

Selesai sesi tersebut, persidangan Dewan Rakyat akan bersambung semula dengan sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.

Turut dijangka menjadi tumpuan adalah sesi bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 selepas dibentang bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Disember tahun lepas.

– BERNAMA


Pengarang :