Orang ramai membeli barangan keperluan harian segar melalui Program Jualan Prihatin Rakyat di Balai Rakyat Taman Berjaya, Sabak Bernam pada 27 Februari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jualan ayam, telur murah di empat DUN hujung minggu ini

SHAH ALAM, 10 MAC: Orang ramai boleh mendapatkan bekalan barangan basah dengan harga lebih murah melalui Jualan Prihatin Rakyat di empat pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) hujung minggu ini.

Lokasi terlibat meliputi pusat khidmat masyarakat Pandan Indah dan Teratai pada 12 Mac manakala DUN Sungai Tua dan Gombak Setia pada Ahad.

Produk ditawarkan ialah ayam standard berharga RM12 seekor, daging pejal segar (RM35 perkilogram), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung atau selayang (RM8 per pek).

“Jom ramai-ramai kita beli ayam, daging, telur ayam dan ikan pada harga yang sangat murah di sana,” menurut Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Facebook.

Sebelum ini, EXCO Pertanian Ir Izham Hashim dilaporkan menjangka program tersebut diadakan di 64 kawasan seluruh negeri bagi mengurangkan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.

Jelasnya, inisiatif pada setiap hujung minggu akan berlangsung sehingga Hari Raya Aidilfitri tahun ini dengan beberapa barang keperluan harian lain ditambah jika terus mendapat sambutan.

Sebanyak 10,000 ayam, 3,100kg daging segar, 6,200kg ikan kembung dan selayang serta 315,000 biji telur gred B turut disasar untuk dijual sepanjang program berkenaan.

Foto Facebook Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor – PKPS

 

 


Pengarang :