Air Selangor pembekal tunggal perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerja baiki paip pecah di Jalan Kuari siap, bekalan air disalur berperingkat

SHAH ALAM, 11 MAC: Kerja pembaikan paip pecah di Jalan Kuari, Kg Cheras Baru, Kuala Lumpur siap dilaksanakan pada jam 4.15 pagi tadi.

Air Selangor memaklumkan tempoh masa pemulihan bekalan berbeza bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

“Bekalan air melibatkan semua kawasan terjejas dijangka pulih sepenuhnya pada jam 4 pagi, 12 Mac.

“Bantuan alternatif melalui lori tangki terus digerakkan ke kawasan terjejas dengan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Air Selangor turut memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori tangki.

“Para pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 bagi mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

Semalam sebanyak 13 kawasan sekitar ibu negara mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan kerja-kerja kecemasan bagi pembaikan paip pecah di Jalan Kuari, Kampung Cheras Baru.

Kawasan terjejas ialah Taman Muda, Taman Bukit Permai, Taman Bukit Pandan, Kampung Cheras Baru, Taman Mawar, Taman Seraya, Taman Mega, Taman Bukit Teratai, Taman Melur, Taman Saga, Taman Putra, Taman Mewah dan Taman Mestika.


Pengarang :