Sukarelawan menyemak butiran mangsa banjir sebelum mengagihkan Bantuan Selangor Bangkit di Dewan MBSA Kemuning Utama, Shah Alam pada 22 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDAAGENSIBERITA UTAMANASIONALSELANGOR

Lebih 22,000 mangsa banjir Petaling layak terima bantuan RM1,000

SHAH ALAM, 9 MAC: Pejabat daerah dan tanah Petaling berkata lebih 22,000 mangsa banjir daerah itu layak menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB).

Pegawai Daerah Mohd Jusni Hashim berkata daripada jumlah itu hanya 500 mangsa masih belum menerima wang tunai RM1,000 dana BSB.

Katanya mereka boleh mendapatkan sumbangan BSB itu dengan mengunjungi pejabat daerah dan tanah Petaling.

“Hanya sebilangan kecil iaitu 500 isi rumah yang masih belum menerima BSB kerana mereka tidak hadir pada majlis penyerahan.

“Agihan dibuat menerusi pelbagai program berskala besar, selain penyerahan di kawasan perumahan mangsa,” katanya kepada Selangorkini, hari ini.

Mohd Jusni berkata pihaknya menjangkakan proses agihan BSB itu dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta menerusi BSB bagi membaik pulih prasarana, selain sumbangan wang tunai kepada mangsa dan waris mangsa banjir Disember lalu.

Individu yang layak terbahagi kepada tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta dan mereka yang kekal di rumah.

 


Pengarang :