Jemaah menunaikan solat Zuhur secara penjarakan fizikal ketika tinjauan di Masjid Taman Sri Muda, Shah Alam pada 1 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDAEXCONASIONALSELANGOR

Solat rapat saf: Junjung perkenan sultan, jemaah diminta patuh SOP

SHAH ALAM, 28 MAC : Kerajaan Negeri menjunjung kasih perkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor untuk merapatkan saf solat di masjid, surau dan musala di seluruh negeri.

EXCO Hal Ehwal Agama Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata perkenan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj itu untuk memastikan fungsi pusat ibadah dihidupkan dengan pelbagai aktiviti sepanjang Ramadan

“Perkenan itu tepat pada masanya, memandangkan setiap kali kedatangan Ramadan umat Islam akan mengambil kesempatan untuk menunaikan ibadah pada bulan yang mulia dan penuh rahmat itu.

“Semoga dengan kebenaran ini membuka ruang lebih besar dan luas kepada ramai umat Islam untuk menunaikan solat tarawih, berbuka puasa, qiamullail di masjid dan lain-lain acara ibadah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Zawawi menasihatkan umat Islam di negeri ini terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.

“Semoga dengan perkenan DYMM tuanku ini akan menambah lagi rahmat dan inayah Allah kepada DYMM tuanku, kaum kerabat dan seluruh pimpinan serta rakyat pada Ramadan kali ini,” katanya.

Semalam, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengumumkan kebenaran solat berjemaah di masjid dan surau dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal berkuat kuasa 1 April.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Shahzihan Ahmad berkata ketetapan itu dibuat selepas mendapat perkenan DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.


Pengarang :