Anggota polis dari Ibu Pejabat Daerah Gombak meninjau lokasi tanah runtuh di Apartmen Teratai, Bandar Baru Selayang pada 30 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tanah runtuh: Kerja baik pulih tebing Pangsapuri Teratai jangka siap April

GOMBAK, 6 MAC: Kerja pembaikan tebing di Pangsapuri Teratai, Bandar Baru Selayang yang runtuh ekoran hujan lebat Disember lalu dijangka selesai sepenuhnya akhir April depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Gombak Nor Azlina Abdul Aziz berkata kontraktor lantikan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) giat menjalankan kerja mengukuhkan tebing bangunan tersebut.

Bagaimanapun menurut beliau, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) akan menilai struktur tebing sebaik kerja penstabilan siap sebelum membenarkan penghuni kembali ke kediaman masing-masing.

“Kita cuba percepatkan proses tersebut (pengukuhan tebing) dan  insya-Allah akhir April boleh siap 100 peratus. Selepas itu, pihak JMG akan dipanggil untuk buat siasatan sama ada masih berlaku pergerakan atau sebaliknya.

“Jika semua dalam keadaan baik dan selamat, penghuni boleh masuk semula ke pangsapuri itu,” katanya ketika ditemui pada program Sunathon Perdana Selangor peringkat Gombak di Masjid Jamek Al Amaniah Batu Caves di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang Saari Sungib dan penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia Abdul Rahim Kasdi.

Nor Azlina berkata Dewan Sri Siantan yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) hanya menempatkan beberapa keluarga terjejas ketika ini manakala selebihnya menyewa di luar atau menumpang rumah saudara-mara.

Pangsapuri Teratai antara enam lokasi di bawah pentadbiran MPS yang kritikal dan perlu pembaikan segera akibat tebing runtuh berpunca hujan lebat pada 18 Disember tahun lalu.

Kerajaan Negeri turut memberi bantuan RM1,000 melalui inisiatif Selangor Bangkit kepada penghuni pangsapuri terbabit yang terpaksa mengosongkan kediaman.

Amaun sama turut diberikan kerajaan pusat kepada mereka melalui Bantuan Wang Ihsan (BWI).


Pengarang :