Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandamaran Tony Leong Tuck Chee (kiri) menyerahkan baucar Jom Shopping sempena Aidilfitri kepada seorang penerima di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Pandamaran, Pelabuhan Klang. Foto Tony Leong Tuck Chee
ADNSELANGOR

450 keluarga B40 di Pandamaran terima baucar beli-belah Aidilfitri

SHAH ALAM, 8 APRIL: Sebanyak 450 baucar Jom Shopping sempena Aidilfitri bernilai RM100 diagihkan kepada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran.

Wakil rakyat Tony Leong Tuck Chee berkata setakat ini agihan dilakukan kepada 250 penduduk layak dan kini pihaknya sedang mengenal pasti 200 lagi penerima.

“Kita utamakan golongan berpendapatan rendah (B40) yang tidak menerima bantuan Kasih Ibu Smart Selangor atau Skim Mesra Usia Emas. Individu yang mahu memohon diminta hadir ke pusat khidmat.

“Diharap bantuan ini dapat meringankan beban penerima untuk menyediakan keperluan hari raya. Baucar boleh ditebus di Pasaraya Giant Bukit Tinggi,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Kerajaan Selangor memperuntukkan sejumlah RM3.34 juta tahun ini untuk agihan baucar beli-belah sempena Aidilfitri yang memanfaatkan 33,400 ketua isi rumah B40.

Jom Shopping Raya diperkenalkan Kerajaan Negeri dengan menyasarkan golongan kurang mampu sebagai inisiatif jangka panjang bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Penyerahan bantuan disalurkan kepada komponen utama kaum di Selangor mengikut perayaan masing-masing.


Pengarang :